Friday, June 4, 2010

Masalah Aqidah(2)

Masalah Aqidah

"Hai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya". Al-Baqarah, 2:208.

* Muqaddimah
* Hikmah Ramadhan
* Mengapa Wajib Berpegang Kepada Ahli Sunnah Wal-Jamaah
* Manhaj Salaf As-Soleh
* Hablum Minallah



*Muqaddimah


بســم الله الرحمن الرحيم

Al-Hamdulillah, dengan berkat kesungguhan dan ‘inayah Allah ‘Azza wa-Jalla, “Koleksi Kulliah-Kulliah Akidah” jilid kedua ini dapat disempurnakan dan disajikan kepada sidang pembaca budiman. Semoga para pembaca sentiasa iltizam dan menekuni arena ilmu-ilmu akidah Ahli Sunnah wal-Jamaah yang menuruti pedoman manhaj Salaf as-Soleh, kerana ilmu inilah yang paling mulia, bermanfaat dan menolong insan dari dijerumuskan ke dalam api neraka dan merupakan jaminan bagi setiap insan yang inginkan keselamatan di dunia dan di akhirat.



Pada kesempatan ini, penulis ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mereka yang memberi ruang untuk penulis membentang atau mengkulliahkan kertas kerja yang akhirnya dapat dijadikan bahan bacaan. Penghargaan ini penulis tujukan juga terutama kepada pihak-pihak masjid-masjid, persatuan, pertubuhan, NGO atau pusat pengajian tinggi yang sudi menjemput penulis untuk mengimarahkan ilmu dan memberi kulliah akidah.



Kepada semua yang telah menjayakan usaha yang mulia ini dan yang telah menyumbangkan tenaga mereka, penulis ucapkan berbanyak terima kasih. Semoga Allah memberkahi segala amal kebaikan yang mereka usahakan. Amin!



Ikhlas dari:

Rasul bin Dahri
Singapura

-------------------------------------------------------------------------------------

*Hikmah Ramadhan




Kertas kerja bertajuk “HIKMAH RAMADAN” ini telah dibentangkan di Muhammadiyah Welfare Home, Singapura pada 19 November 2000 bersempena bulan Ramadan al-Mubarak. Beribu kesyukuran penulis ucapkan ke hadrat Allah Azza wa-Jalla kerana dengan izinNya penulis mampu menyumbangkan kulliah dan diberi kepercayaan oleh pihak berkenaan menyampaikan kewajipan dakwah Islamiyah di Singapura.

Penulis berterima kasih juga kepada Presiden Persatuan Muhammadiyah Singapura Ustaz S. Hussain S. Yacob, kepada Pengarah Unit Pembangunan Sumber Persatuan Shaik Dawood Tahir, Ustaz Nor Ibrahim, Saudara Aron Rasikin dan kepada semua AJK yang menjayakan majlis ceramah yang mulia ini. Jazakumullahu khairan kathiran.

HIKMAH RAMADAN

Bulan Ramadan adalah bulan mulia yang dikenali sebagai bulan ibadah yang dipenuhi dengan kebaikan, hikmah dan barakah. Hal ini telah dijelaskan oleh Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam:

قَدْ جَاءَ كُمْ رَمَضَانُ شَهْرٌ مُبَارَكٌ.

"Telah tiba kepada kamu bulan Ramadan, bulan keberkatan".[1]

Telah dimaklumi oleh sekalian muslim dan muslimah bahawa Allah Subhanahu wa-Ta'ala telah memerintahkan kepada setiap orang-orang yang beriman agar berpuasa di bulan Ramadan. Terdapat banyak ayat-ayat muhkamat yang mewajibkan mereka berpuasa apabila tiba bulan Ramadan sebagaimana firman Allah:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِىْ اُنْزِلَ فِيْهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَى وَالفُرِقَانِ ، فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ.



"Pada bulan Ramadan yang diturunkan al-Quran, sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan dari petunjuk, memperbezakan antara hak dengan yang batil maka sesiapa yang hadir di antara kamu di bulan itu hendaklah ia berpuasa".

Al-Baqarah, 2:185.

Puasa dibulan Ramadan merupakan perisai dari melakukan maksiat dan kejahatan, penyelamat dari siksaan api neraka dan pembuka jalan untuk ke syurga. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

مَنْ آمَنَا بِاللهِ وَبِرَسُوْلِهِ وَاَقَامَ الصَّلاَةِ وَصَامَ رَمَضَانَ كَانَ حَقًّا عَلَى اللهِ اَنْ يُدَخِّلَهُ الْجَنَّةَ.



"Sesiapa yang beriman kepada Allah dan RasulNya, mendirikan solat dan berpuasa di bulan Ramadan, maka adalah satu kebenaran atas Allah memasukkannya ke syurga".[2]

Terlalu banyak dalil-dalil dari al-Quran dan hadis-hadis sahih yang menerangkan tentang kebaikan, barakah dan pahala yang diberikan oleh Allah Subhanahu wa-Ta’ala kepada orang yang berpuasa dengan penuh keimanan dan kesedaran sebagaimana dijelaskan di beberapa hadis Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

اَلصَّوْمُ جُنَّةٌ مِنْ عَذَابِ اللهِ.

"Puasa itu adalah perisai (penyelamat) dari azab Allah".[3]

Orang yang berpuasa dilarang dari berkata-kata yang kotor seperti mengumpat, menyakiti orang lain dengan perbuatan dan mulutnya serta tidak boleh memaki-hamun sembarangan. Tegahan ini terdapat dalam hadis Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

اَلصَّوْمُ جُنَّةٌ فَاِذَا كَانَ اَحَدُكُمْ يَوْمًا صَائِمًا فَلاَ يَرْفَثْ وَلاَ يَجْهَلْ فَاِنِ امْرُؤٌ شَتَمَهُ اَوْ قَاتَلَهُ فَلْيَقُلْ اِنِّيْ صَائِمٌ.



'Puasa itu perisai, apabila ada salah seorang kamu di suatu hari sedang berpuasa, maka janganlah berkata-kata keji (kotor), jangan berlaku jahil dan jika ada seseorang memakinya atau mahu membunuhnya maka katakanlah sesungguhnya aku sedang berpuasa".[4]

Kemuliaan orang yang berpuasa di sisi Allah berbeza dengan ibadah-ibadah yang lain, sehingga pahala orang yang berpuasa ditulis sendiri oleh Allah ‘Azza wa-Jalla:

كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ اِلاَّ الصَّوْمَ ، فَاِنَّهُ لِيْ وَاَنَا اَجْزِى بِهِ ولِخُلُوْفِ فَمِ الصَّائِمِ اَطْيَبُ عِنْدَ اللهِ مِنْ رِيْحِ الْمِسْكِ.



"setiap amal kebaikan Bani Adam (ditulis oleh malaikat) pahlanya, kecuali orang yang berpuasa sesungguhnya ia adalah bagiKu dan Akulah yang memberinya pahala puasanya. Dan bau mulut orang yang berpuasa lebih baik di sisi Allah dari bau kasturi".[5]

Bagi mereka yang berpuasa selain meninggalkan makan dan minumnya kemudian meninggalkan juga syahwat-serakahnya, maka Allah akan menganugerahkan kepadanya dua kegembiraan sebagaimana disabdakan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

يَقُوْلُ عَزَّ وَجَلَّ : اَلصَّوْمُ لِيْ وَاَنَا اَجْزِيْ بِهِ ، يَدَعُ شَهْوَتَهُ وَاَكْلَهُ وَشُرْبَهُ مِنْ اَجْلِيْ ، وَالصَّوْمُ جُنَّةٌ ، وَلِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ ، فَرْحَةٌ حِيْنَ يُفْطِرُ ، وَفَرْحَةٌ حِيْنَ يُلْقَى رَبَّهُ.



"Azza Wajalla berfirman: Puasa itu untuk Aku dan Akulah memberinya pahala. Ia meninggalkan syahwatnya, makanannya dan minumannya kerana Aku. Puasa itu perisai. Bagi orang yang berpuasa dua kegembiraan, kegembiraan semasa berbuka dan kegembiraan semasa menemui Tuhannya".[6]



كُلُّ حَسَـنَةٍ يَعْمَلُهَا ابْنُ آدَمَ فَلَهُ عَشْرُ اَمْثَالِهَا اِلاَّ الصِّيَامَ لِيْ وَاَنَا اَجْزِيْ بِهِ



"(Hadis Kudsi): Segala kebaikan yang dikerjakan oleh anak Adam baginya sepuluh kebaikan sepertinya, kecuali puasa, ia untukKu dan Aku sendirilah yang memberi ganjarannya".[7]
اِنَّ لِلصَّائِمِ فَرْحَتَيْنِ ، اِذَا اَفْطَرَ ، وَاِذَا لَقِيَ اللهَ فَجَزَاهُ فَرِحَ.

"Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa dua kegembiraan, (pertama kegembiraan) apabila berbuka dan (kedua kegembiraan) apabila menemui Allah. Maka Allah akan memberinya balasan maka itulah kegembiraan" [8]



وَمَنْ كَانَ مِنْ اَهْلِ الصِّيَامِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الصِّيَامِ



"Dan sesiapa yang tergolong orang yang berpuasa, ia akan dipanggil (ke syurga) melalui pintu puasa".[9]

Di samping menunaikan kewajipan puasa maka sesiapa yang menambah ibadahnya dengan amalan-amalan sunnah (tatawu’) seperti bertarawikh, bertadarus, berzikir (mengikut secara sunnah), bersedekah dan sebagainya untuk bertaqarrub kepada Allah dengan penuh keimanan, tunduk, khusyu', ikhlas, sabar dan meninggalkan dosa-dosa besar, maka diberikan kepadanya pengampunan serta pahala yang amat besar. Sebagaimana firman Allah:

اِنَّ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ ، وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ وَالْقَانِتِيْنَ وَالْقَانِتَاتِ ، وَالصَّادِقِيْنَ وَالصَّادِقَاتِ ، وَالصَّابِرِيْنَ والصَّابِرَاتِ ، وَالْخَاشِعِيْنَ وَالْخَاشِعَاتِ ، وَالْمُتَصَدِّقِيْنَ وَالْمُتَصَدِّقَاتِ ، وَالصَائِمِيْنَ وَالصَّائِمَاتِ ، وَالْحَافِظِيْنَ فَرُوْجَهُمْ وَالْحَافِظَاتِ ، وَالذَّاكِرِيْنَ اللهَ كَثِيْرًاوَالذَّاكِرَاتِ اَعَدَّاللهُ لَهُمْ مَّغْفِرَةً وَاَجْرًاعَظِيْمًا



"Sesungguhnya lelaki dan perempuan yang muslim, lelaki dan perempuan yang mukmin, lelaki dan perempuan yang tetap taat dalam ketaatannya, lelaki dan perempuan yang benar, lelaki dan perempuan yang sabar, lelaki dan perempuan yang khusyuk, lelaki dan perempuan yang bersedekah, lelaki dan perempuan yang berpuasa, lelaki dan perempuan yang memelihara farajnya (kehormatannya), lelaki dan perempuan yang banyak mengingati Allah, Allah menyediakan bagi mereka keampunan dan pahala yang besar".[10]

Bagi orang yang berpuasa kemudian diiringi puasanya dengan memperbanyak amalan-amalan sunnah, maka selain diampunkan dosa-dosanya yang lalu dan mendapat pahala yang besar, maka ia juga dimasukkan ke dalam golongan orang-orang siddiqin, syuhada dan solehin sebagaimana sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

عَنْ اَبِى هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُـوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مَنْ قَامَ رَمَضَانَ اِيْمَانًا وَاحْتِسَابَا غُفِرَ لَهُ مَاتَقَدَّمَ لَهُ مِنْ ذَنْبِهِ



"Dari Abi Hurairah radiallahu 'anhu berkata: Bersabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam: Barangsiapa yang bangun (menghidupkan ibadah) dibulan Ramadan dengan penuh keimanan dan ihtisab (mengharapkan balasan yang baik), maka diampunkan dosanya yang telah lalu".[11]

Dan diriwayatkan dari Amr bin Murrah al-Juhani radiallahu 'anhu:

"Datang seorang lelaki kepada Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam lalu ia berkata: Ya Rasulullah! Apa pendapatmu jika aku bersaksi bahawa tidak ada sesembahan yang hak kecuali Allah, engkau adalah Rasulullah, aku solat lima waktu, aku tunaikan zakat, aku berpuasa Ramadan dan solat tarawih di malam harinya, termasuk golongan manakah aku? Baginda menjawab: Termasuk golongan siddiqin dan syuhada".[12]

Perlu diketahui oleh setiap mukmin bahawa Allah memberkati bulan Ramadan kerana terdapat banyaknya kebaikan dan keutamaan di dalam bulan tersebut antaranya:

Keutamaan Pertama

Dibulan Ramadan terdapat malam Lailatul Qadar. Yang mana dikeranakan oleh malam tersebut maka ibadah seseorang mukmin lebih baik dari beribadah diseribu bulan yang lain atau lebih mulia dari beribadah sepanjang seribu bulan. Keutamaan bulan Ramadan juga ialah apabila Allah Subhanahu wa-Ta'ala memilih malam Lailatul Qadar diturunkan padanya al-Quran untuk membimbing manusia ke jalan hidayah dan kemuliaan.

Orang-orang beriman digalakkan agar berlumba-lumba bangun melakukan amal ibadah dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala dari Allah, kerana bulan ini adalah bulan yang paling mulia di sisi Allah. Keutamaannya sangat besar sebagaimana digambarkan dalam surah al-Qadar:

لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ اَلْفِ شَهْرٍ.



"Malam Lailatul Qadar itu lebih baik dari seribu bulan".[13]

Malam Lailatul Qadar dijelaskan oleh al-Quran sebagai malam yang di penuhi dengan berkat, rahmat dan fadhilat sebagaimana firman Allah:

اِنَّا اَنْزَلْنَاهُ فِى لَيْلَةٍ مُبَارَكَةٍ اِنَّاكُنَّا مُنْذِرِيْنَ ، فِيْهَا يُفْرَقُ كُلُّ اَمْرٍ حَكِيْمٍ اَمْرًا مِنْ عِنْدِنَا اِنَّا كُنَّا مُرْسَـلِيْنَ ، رَحْمَةً مِّنْ رَّبِّكَ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ.



"Sesungguhnya Kami menurunkan al-Quran di malam Lailatul Qadar pada malam yang penuh berkat. Sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan (kepada manusia), pada malam (penuh berkat) itu ditetapkan (dijelaskan) semua perkara dari Kami. Kerana sesungguhnya Kami sentiasa mengutus para rasul, sebagai rahmat Allah Tuhan engkau. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui". Ad-Dukhan, 44:3-6.

Bilakah Malam Lailatlul Qadar?

Dalam sebuah hadith, Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam telah bersabda:

قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِى الْوِتْرِ مِنَ الْعَشْرِ اْلاوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ



"Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Pilihlah (carilah) malam Lailatul Qadar di (pada hari) ganjil dari sepuluh terakhir dari bulan Ramadan".[14]

Imam Syafie rahimahullah berkata:

"Menurut pemahamanku, wallahu a’lam, Nabi sallallahu 'alaihi wa-sallam setelah ditanya: Apakah kami mencarinya dimalam ini? Baginda menjawab: Carilah dimalam tersebut".[15]

Adapun yang dimaksudkan: "Carilah dimalam tersebut", ia telah diterangkan dari Ibnu Umar radiallahu 'anhuma beliau berkata: Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam bersabda:

"Carilah (malam tersebut) pada sepuluh hari terakhir, jika tidak mampu janganlah tertinggal tujuh hari yang sisanya".[16]



Dari Aisyah radiallahu 'anha pula berkata:



“Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam bersungguh-sungguh beribadah pada sepuluh hari terakhir yang tidak pernah dilakukannya di waktu yang lain".[17]



Aisyah radiallahu ‘anhu berkata lagi:



“Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam jika telah masuk sepuluh hari terakhir, baginda mengikat kuat kainnya, menghidupkan malamnya dan membangunkan isterinya".[18]



Keutamaan Kedua


Dikhususkan diperintahkan oleh Allah Subhanahu wa-Ta’ala pada malam bulan Ramadan agar turun para malaikat bersama malaikat Jibril ‘alaihis salam ke langit dunia. Firman Allah:

تَنَزَّلُ الْمَلاَئِكَةُ وَالرُّوْحُ فِيْهَا بِاِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ اَمْرٍ



"Pada malam (Lailatul Qadar) turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan".[19]

Ganjaran bagi orang-orang beriman yang menghidupkan malam Lailatul Qadar dengan beramal soleh seperti membaca al-Quran, solat tarawikh, mengerjakan umrah dan sebagainya adalah pengampunan dosa-dosanya yang telah lalu. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ اِيْمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ.



"Bersabda Rasulullah sallallahu‘alaihi wa-sallam: Sesiapa yang bangun di malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan ihtisab, diampunkan dosanya yang telah lalu".[20]





Keutamaan Ketiga


Ganjaran pahala yang besar diberikan kepada sesiapa yang bertadarus (membaca dan mempelajari al-Quran) dibulan yang mulia ini, kerana mengikut contoh Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam yang bertadarus dengan Jibril 'alaihis salam di Ramadan, sebagaimana juga amalan para sahabat dan para Salaf as-Soleh. Begitu juga al-Quran pula diturunkan dibulan yang penuh keberkatan ini sebagaimana firman Allah Azza wa-Jalla:

شَهْرُرَمَضَانَ الَّذِىْ اُنْزِلَ فِيْهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ ، فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ.



"Bulan Ramadan itulah bulan di dalamnya diturunkan al-Quran yang menjadi petunjuk bagi manusia, menjadi keterangan-keterangan dari petunjuk itu sehingga membezakan antara yang hak dengan yang batil. Maka barangsiapa antara kamu melihat bulan itu hendaklah ia berpuasa".

Al-Baqarah, 2:185.



وَكَانَ يَلْقَاهُ فِى كُلِّ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ يَتَدَارَسَهُ الْقَرْآنَ



"Yang mana baginda (Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam) bertemu Jibril pada setiap malam dari bulan Ramadan, baginda bertadarus al-Quran".[21]



Keutamaan Keempat


Segala jin-jin jahat dan syaitan dibelenggu dengan rantai, ini supaya tidak dapat bebas mengoda dan merosakkan ibadah puasa dan segala ibadah manusia yang beriman sebagaimana bebasnya di bulan-bulan yang lain. Pintu-pintu neraka ditutup dan pintu-pintu langit dan syurga dibuka kepada mereka yang berpuasa dengan penuh keimanan. Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam bersabda:

قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : اِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ اَبْوَابُ الْجَنَّةِ ، وَغُلِّقَتْ اَبْوَابُ النَّارِ ، وَصُفِّدَتِ الشَّيَاطِيْنَ.



"Telah bersabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam: Jika datang bulan Ramadan dibukalah pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggulah para syaitan".[22]



اِذَا دَخَلَ شَهْرُ رَمَضَانَ ، فُتِّحِتْ اَبْوَابَ السَّـمَاءِ ، وَغُلِّقَتْ اَبْوَابُ جَهَنَّمَ ن وَسُلْسِلَتِ الشِّيَاطِيْنَز



"Apabila masuk bulan Ramadan, dibuka pintu-pintu langit, ditutup pintu jahanam dan dirantai para syaitan".[23]



"Jika telah datang awal malam bulan Ramadan diikatlah para syaitan dan jin-jin yang jahat, ditutup pintu-pintu neraka, tidak ada satu pintu pun yang dibuka dan dibukalah pintu-pintu syurga, tidak ada satu pintu pun yang tertutup, menyerulah seorang penyeru: Wahai orang yang ingin kebaikan lakukanlah! Wahai orang yang ingin keburukan kurangkanlah! Allah mempunyai orang-orang yang dibebaskan dari neraka, itu terjadi pada setiap malam".[24]

Maksud "dibebaskan dari neraka", ialah diberi pengampunan dibulan Ramadan bagi pelaku maksiat yang bakal ke neraka lantaran beribadah, bertaubat, beristigfar dan permohonan doanya kepada Allah yang dilakukan dengan penuh keimanan, kekhusyukan dan keikhlasan terutamanya dimalam Lailatul Qadar. Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam bersabda:

"Allah memiliki para hamba yang dibebaskan dari neraka setiap siang dan malam Ramadan, dan setiap muslim yang berdoa akan dikabulkan doanya".[25]



Baginda bersabda lagi: "Barangsiapa yang mencarinya (Lailatul Qadar), carilah pada tujuh hari terakhir" [26]



Keutamaan Kelima


Dibuka luas pintu-pintu rahmah (untuk menperolehi pahala yang berganda) dan doa yang dipohon dengan penuh keikhlasan dikabulkan. Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam telah bersabda:

اِذَا كَانَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ اَبْوَابُ الرَّحْمَةِ



"Apabila tiba bulan Ramadan, maka dibuka pintu-pintu rahmah".[27]

Di samping mengerjakan ibadah-ibadah tatawwu' (sunnah) seperti bertadarus (membaca) al-Quran agar dengannya membersihkan jiwa dan menghancurkan syahwat, maka Nabi Muhammad menganjurkan agar memperbanyakkan doa.

"Diriwayatkan dari Aisyah radiallahu 'anha beliau berkata: Ya Rasulullah! Apa pendapatmu jika kau tahu bila malam Lailatul Qadar, apa yang aku ucapkan? Baginda bersabda: Ucapkanlah (doa):

اَللَّهُمَّ اِنَّكَ عَفُوٌ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّيْ

Bermaksud: "Ya Allah! Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan Mencintai orang yang meminta ampun, maka ampunilah aku".[28]



Keutamaan Keenam


Bulan Ramadan adalah bulan pengampunan dosa lantaran keutamaan dan tingginya kedudukan ibadah puasa di sisi Allah ‘Azza wa-Jalla. Seandainya seseorang yang berpuasa mempunyai dosa seperti buih di lautan, nescaya akan diampunkan apabila meminta pengampunan dengan sebab ibadah puasanya yang diberkahi. Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam bersabda:

مَنْ قَامَ رَمَضَانَ اِيْمَانًا وَاحْتِسَابًا ، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ.



"Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadan dengan penuh iman dan ihtisab, maka akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu".[29]

Itulah janji Allah kepada mereka yang beriman dan mengerjakan ibadah puasa dibulan Ramadan dengan penuh keikhlasan dan kesabaran.

اَلصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ وَالْجُمْعَةُ اِلَى الْجُمْعَةِ وَرَمَضَانُ اِلَى رَمَضَانِ فَكَفَّرَاتٌ لِمَا بَيْنَهُنَّ مَااجْتُنِبَتِ الْكَبَائِرِ.



"Solat yang lima, Jumaat keJumaat, Ramadan keRamadan adalah penghapus dosa yang terjadi di antara waktu tersebut jika menjauhi dosa-dosa besar".[30]

Setiap mukmin sewajarnya mengambil kesempatan ini disetiap tibanya bulan Ramadan dengan banyak mengerjakan amal ibadah dengan penuh tawadduk, khusyuk dan penuh keikhlasan.

Keutamaan Ketujuh

Dibulan Ramadan, segala amal ibadah yang dikerjakan dengan penuh keimanan, keikhlasan, khusyuk dan tawadduk jika tidak diselang-seli dengan dosa-dosa besar, bid'ah dan khurafat, maka pahalanya akan digandakan. Oleh itu digalakkan agar menjadikan bulan Ramadan sebagai bulan memperbanyak beramal ibadah dan berdoa. Segala doa akan dimakbulkan sehingga Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam sendiri melipat-gandakan ibadah dan doanya disetiap bulan Ramadan:

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا قَالَ : كَانَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّىاللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اَجْوَدَ النَّاسِ وَكَانَ اَجْوَدُ مَا يَكُوْنُ فِى رَمضَانَ حِيْنَ يَلْقَاهُ جِبْرِيْلَ فِىكُلِّ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ يُدَارِسُهُ الْقُرْآنَ



"Dari Ibn Abbas radiallahu ‘anhuma berkata: Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam adalah manusia yang paling pemurah, maka dia akan lebih pemurah dibulan Ramadan, dimana baginda ditemui oleh Jibril pada setiap malam Ramadan mengajarkan baginda al-Quran"[31]

Tanda hikmah, kemuliaan dan berlipat gandanya pahala setiap ibadah dibulan Ramadan itu banyak, antaranya diwajibkan zakat fitrah, disunnahkan banyak bersedekah (infaq), digalakkan beriktikaf di masjid dan pahala umrah bagi yang mampu mengerjakannya dinilai sama seperti mengerjakan haji berserta Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam. Sebagaimana sabda baginda:

وَاِذَا صَلَّى الْفَدَاةَ دَخَلَ مَكَانَهُ الَّذِيْ اِعْتَكَفَ فِيْهِ



"Setelah selesai sembahyang subuh, baginda masuk ke tempat kebiasaan baginda beriktikaf di bulan Ramadan".[32]



يَعْتَكِفْ فِى كُلِّ رَمَضَانَ عَشْرَةَ اَيَّامٍ فَلَمَّا كَانَ الْعَامُ الَّذِيْ قُبِضَ فِيْهِ اِعْتَكَفَ عِشْرِيْنَ يَوْمًا



"Pada setiap bulan Ramadan baginda beriktikaf disepuluh (terakhir) dan setelah tahun kewafatannya baginda beriktikaf didua puluh hari (yang terakhir)".[33]

Antara tanda kemuliaan dan berkahnya amal ibadah dibulan Ramadan dapat difahami dari hadith yang menjelaskan pahala yang besar yang diberikan kepada mereka yang mengerjakan umrah dibulan tersebut:

قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : اِنَّ عُمْرَةً فِى رَمَضَانَ تَقْضِى حَجَّةٌ اَوْ حَجَّةً مَعِيْ



"Sesungguhnya mengerjakan umrah di bulan Ramadan sama seperti mengerjakan satu haji atau mengerjakan haji bersamaku".[34]



Puasa Orang Munafik

Di dalam hadis riwayat Muslim rahimahullah terdapat sepotong hadis yang menceritakan perihal ibadah orang munafik termasuklah ibadah puasa:

اَيَاتُ الْمُنَافِقِ ثَلاَثٌ : اِذَا حَدَّثَ كَذَبَ ، وَاِذَا وَعَدَ اَخْلَفَ ، وَاِذَا ائْتُمِنَ خَانَ ،وَاِنْ صَامَ وَصَلَّى وَزَعَمَ اَنَّهُ مُسْلِمٌ.



"Tanda-tanda munafik tiga: Apabila berkata dia bohong, apabila berjanji dia mungkir dan apabila diberi amanah dia berkhianat, sekalipun dia berpuasa, bersolat dan menyangka dirinya muslim".[35]

Antara contoh puasa orang Munafik ialah apabila seseorang yang berpura-pura berpuasa di hadapan orang lain sedangkan hakikatnya dia tidak berpuasa (berbohong) lantaran malu jika diketahui orang dia tidak berpuasa, atau terpaksa berpuasa lantaran ia duduk bersama orang yang berpuasa kerana terasa malu jika tidak berpuasa, atau beralasan sakit sehingga tidak mahu berpuasa sedangkan yang sebenarnya dia adalah seorang yang berkeadaan sihat wal-afiat. Maka orang-orang seperti ini tergolong dalam golongan orang yang nifaq walaupun dia masih merasa dirinya seorang muslim. Kerana orang seperti ini akan senang bersama orang yang tidak berpuasa, sama ada orang yang tidak berpuasa itu masih mengaku muslim atau orang kafir.

Oleh itu, hindarilah sifat-sifat nifak ini agar Allah Subhanahu wa-Ta’ala menerima dan memberkati segala ibadah kita termasuklah ibadah puasa. Lakukanlah segala ibadah yang wajib atau yang sunnah semata-mata kerana Allah, kerana demikianlah perintah dari Allah Azza wa-Jalla sebagaimana firmanNya:

وَمَا اُمِرُوْا اِلاَّ لِيَعْبُدُوْا اللهَ مُخْلِصِيْنَ لَهُ الدِّيْنَ حُنَفَآءَ



"Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan (ikhlas) kepadaNya dalam (menjalankan) agama dengan lurus". Al-Bayyinah, 98:5.

Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ اِيْمَانً وَاحْتِسَابًا وَنِيَّةً وَقَالتْ عَائِشَةُ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : يُبْعَثُوْنَ عَلَى نِيَّتِهِمْ



"Sesiapa yang berpuasa Ramadan (berpuasalah dengan) penuh keimanan, ihtisab dan niat. Berkata Aisyah radiallahu 'anha: Nabi sallallahu 'alahi wa-sallam bersabda: Mereka (yang berpuasa) akan dibangkitkan (di Hari Kiamat) menurut niat mereka".[36]

[1]. H/R Ahmad (9133)

[2]. H/R Bukhari (3581) al-Jihad.

[3]. H/R Ahmad (17233).

[4]. H/R Ahmad. (7714).

[5]. H/R Bukhari (547) al-Libas.

[6]. H/R Bukhari (6938) at-Tauhid.

[7]. H/R an-Nasai(2189) as-Siam.

[8]. H/R Ahmad (6877).

[9]. H/R Bukhari (3393). al-Munaqib.

[10]. Al-Ahzab, 33:35.

[11]. H/R Bukhari (36) al-Iman.

[12]. H/R Ibnu Hibban No. 11. Lihat Zawaid. Sanadnya sahih.

[13]. Surah al-Qadar, 97:3.

[14]. H/R Bukhari (1878) Solat at-Tarawikh.

[15]. Lihat: Syarhus Sunnah, 6/388.

[16]. H/R Bukhari (3/221). Muslim (1165).

[17]. H/R Bukhari (4/233). Muslim (1174).

[18]. H/R Muslim.

[19]. Al-Qadar, 97:4.

[20]. H/R Bukhari (1875) Solat at-Tarawikh.

[21]. H/R Bukhari (5) Badul Wahyu.

[22]. H/R Bukhari (4/97). Muslim (1079).

[23]. H/R Bukhari (1766). as-Saum.

[24]. H/R Tirmizi (682). Ibn Majah (1642). Ibnu Khuzaimah (3/188). Hadis Hasan.

[25]. H/R Bazzar (3142). Ahmad (2/254). Ibn Majah (1643). Hadis sahih.

[26]. Ibid.

[27]. H/R Muslim (1794). as-Siam.

[28]. H/R Tirmizi (3706) Ibn Majah (3850) sanadnya sahih. Lihat Syarah Bughyatul Insan fi Wadhaifi Ramadan. Hlm. 55-57. Ibn Rejab al-Hambali.

[29]. H/R Bukhari (4/99). Muslim (759).

[30]. H/R Muslim (233).

[31]. H/R Bukhari No 5. Badul Wahyu.

[32]. H/R Bukhari (1900) al-Iktikaf.

[33]. H/R Bukhari (1903). al-Iktikaf.

[34]. H/R Bukhari (1730) al-Haj.

[35]. H/R Muslim No. 90. al-Iman.

[36]. H/R Bukhari. as-Saum.


-------------------------------------------------------------------------------------

*MENGAPA WAJIB BERPEGANG KEPADA AHLI SUNNAH WAL-JAMAAH



Kertas kerja ini telah dibentangkan dibeberapa masjid di Perlis, di Masjid Kampung Malaysia Tambahan Selangor, di Johor Bahru dan di Persatuan Muhammadiyah Singapura. Serterusnya dibentangkan semula di Pusat Islam Singapura (Kulliah Perdana) atas tajuk Nasrun Minallah (Pertolongan dari Allah), tetapi kertas kerja yang berada di tangan pembaca yang dihormati telah dilakukan sedikit pengubah-suaian, namun ini masih tidak mengubah mesej yang ingin disampaikan.

Kepada semua pihak yang telah menjayakan majlis ilmu yang berkaitan dengan kertas kerja ini, maka penulis ucapkan ribuan terima kasih. Semoga Allah memberkati semua usaha yang mereka laksanakan kerana menunaikan tanggungjawab penyampaian dakwah kepada masyarakat.

Istilah atau kalimah Ahli Sunnah wal-Jamaah sememangnya sudah tidak asing lagi kepada masyarakat Islam Nusantara. Namun, apabila membincangkan perihal Ahli Sunnah wal-Jamaah terlalu sedikit yang mengetahui pengertian kalimah ini. Oleh itu, perlulah terlebih dahulu difahami pengertiannya (istilah atau definisinya) sama ada disegi bahasa atau syara. Istilah “Ahli Sunnah wal-Jamaah” terdiri dari tiga kalimah, iaitu:

1.

Pertama: Pengertian Ahli
2.

Kedua: Pengertian Sunnah
3.

Ketiga: Pengertian al-Jamaah.

PENGERTIAN AHLI

Perkataan “Ahli” mengikut Bahasa Arab secara ringkas boleh diertikan kepada beberapa maksud, antaranya ialah:

1. Ahli bermakusd: "Pakar, Yang Berilmu atau Yang Pandai" sebagaimana firman Allah:

فَسْئَلُوْا اَهْلَ الذِّكْرِ اِنْ كُنْتُمْ لاَ تَعْلَمُوْنَ.

"Maka tanyakanlah olehmu kepada orang-orang yang berilmu jika kamu tidak mengetahui". Al-Anbiya, 21:7.



2. Ahli yang bermaksud "Pengikut atau Anggota" satu-satu aliran (fahaman) atau kumpulan, contohnya sebagaimana yang terdapat dalam firman Allah:

يَا اَهْلَ الْكِتَابِ لِمَ تَكْفُرُوْنَ بِاَيَاتِ اللهِ

"Hai Ahli Kitab! Mengapa kamu mengingkari ayat-ayat Allah padahal kamu mengetahui kebenarannya". Ali Imran, 3:70.



وَاْمُرْ اَهْلَكَ بِالصَّلاَةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا



"Dan perintahkanlah kepada keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya". Taha, 20:132.



Pada ayat ini ahli bermaksud anggota keluarga. Antara contoh-contoh yang lain ialah: Ahli pertubuhan, ahli parlimen, ahli mahzab, ahli sukan dan sebagainya.

PENGERTIAN SUNNAH

1. As-Sunnah: Sunnah menurut pengertian bahasa ialah: Tariqah ( الطريقة) "Jalan"[1] atau sirah (السيرة) "Sirah".[2] Sebagaimana yang dikatakan:

اَلسُّنَّةُ هِيَ الطَّرِيْقَةُ ، مَحْمُوْدَةٌ كَانَتْ اَمْ مَذْمُوْمَةٌ.



"As-Sunnah ialah jalan, sama ada yang terpuji (baik) atau yang keji (jahat)".[3]



2. As-Sunnah: Sunnah menurut syara:



"Apa yang diambil (diterima, dinukil, dipindah dan diriwayatkan) dari Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam dan para sahabat baginda berkenaan akidah dan amal". [4] Atau:



"Cara (jalan) yang dicontohkan oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam yang dibina (diambil) dari kitab Allah Ta'ala (al-Quran), sunnah RasulNya dan jalan yang ditempuh oleh para sahabat sekalian yang telah diijmakkan oleh mereka".[5]

Pengertian Al-Jamaah

Al-Jamaah diambil dari kalimah (الجمع) yang boleh diertikan kepada beberapa maksud:

1. Al-Jamaah yang bermaksud:



(1). "Mengumpulkan atau menyatu-padukan yang berpecah-belah (bercerai-berai)".[6]



(2). "Bersatu dan lawannya berpecah-belah.



(3). Al-Jamaah juga (diistilahkan untuk) menunjukkan perkumpulan manusia yang bersatu untuk tujuan yang sama".[7]



2. Al-Jamaah: Golongan yang terbesar atau yang paling ramai (السواد الاعظم) dari kalangan umat Islam.[8]



3. Al-Jamaah: Golongan (kalangan) para ulama yang mujtahid.[9]



4. Al-Jamaah: Setiap Umat Islam yang bersatu

di bawah satu amir (pemerintah Islam).[10]



5. Al-Jamaah: Secara khususnya ialah para sahabat Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam.[11] Pengertian ini dapat difahami dari sabda Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam:



فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِيْ وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِيْنَ الْمَهْدِيِّيْنَ



"Hendaklah kamu kembali (ittiba') kepada sunnahku dan sunnah para Khulafa ar-Rasyidin yang mendapat petunjuk selepasku".[12]



6. Al-Jamaah: Setiap mukmin yang mengikut kebenaran yang disampaikan oleh Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam[13] walaupun seorang diri sebagaimana athar sahih di bawah ini:



اَلْجَمَاعَةُ : هِيَ الَّتِيْ مَا اَنَا عَلَيْهِ وَاَصْحَابِيْ



"Al-Jamaah: Iaitu (sesiapa yang amal dan akidahnya mengikuti aku atau persis) serupa dengan apa yang ada pada diriku dan para sahabatku (sesiapa yang sepertiku dan para sahabatku)."[14]



اَلْجَمَاعَةُ مَا وَافَقَ الْحَقَّ وَاِنْ كُنْتَ وَحْدَكَ.



"Al-Jamaah (berjamaah) atau (yang dikatakan berada dalam jamaah) ialah apabila (engkau) mengikuti kebenaran sekalipun engkau hanya seorang diri (keseorangan)."[15]

Kebenaran adalah setiap apa saja yang didatangkan oleh Allah dan disampaikan oleh RasulNya yang dikenali sebagai al-Hak (al-Quran dan as-Sunnah). Maka Al-Jamaah yang dimaksudkan oleh syarak ialah sesiapa sahaja yang berittiba' kepada manhaj para sahabat kerana mereka sentiasa memelihara dan mengikut (berittiba') kebenaran yang telah diturunkan oleh Allah kepada RasulNya. Firman Allah:

اَلْحَقُّ مِنْ رَبِّكَ فَلاَ تَكُوْنَنَّ مِنَ الْمُمْتَرِيْنَ.



"Kebenaran itu adalah dari Tuhanmu, sebab itu janganlah sekali-kali kamu termasuk orang-orang yang ragu".

Al-Baqarah, 2:147.

Penafsiran yang paling tepat tentang "Jamaah" ialah:

"Mereka-mereka yang tergolong dari kalangan para sahabat kerana mereka sentiasa di atas kebenaran, ahlinya dan golongan yang teramai (السواد الاعظم) mengikut fahaman (manhaj) salaf yang hak".[16]

Dengan demikian, sesiapa sahaja yang mengikuti (ittiba') manhaj para sahabat dengan baik pasti digolongkan sebagai al-Jamaah. Walaupun al-Jamaah adalah nama sebenar bagi Ahli Sunnah wal-Jamaah, tetapi antara nama-nama lain yang diberikan ialah:

1. Ahli al-Hadis atau Ahli al-Athar.



Berkata Ibn Qaiyim rahimahullah:



"Setiap individu telah mengetahui bahawa Ahli Hadis adalah golongan yang paling benar sebagaimana yang dikatakan oleh Ibn Mubarak: Aku dapati agama berada pada ahli hadis percekcokkan pada golongan Muktazilah, pembohongan pada ar-Rafidah dan banyak berhelah pada Ahli ar-Rakii".[17]



2. Firqah an-Najiah (Firqah al-Mansurah) atau At-Taifah an-Najiah (at-Taifah al-Mansurah). Berkata Ibn Taimiyah rahimahullah:



"Apa yang dikatakan Firqah an-Najiah ialah pengikut para sahabat Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam. Ia adalah syiar Ahli sunnah. Dinamakan Firqah an-Najiah kerana mereka itu terdiri dari Ahli Sunnah".[18]



3. Ahli Ittiba'. Dinamakan Ahli Ittiba' kerana sentiasa berittiba' (mengikuti/mematuhi/mentaati) al-Quran, as-Sunnah Rasulullah sallallhu ‘alaihi wa-sallam serta athar para sahabat radiallahu 'anhum yang sahih.



4. Al Guraba' (الغرباء) bermaksud: "Golongan yang anih, asing, luar biasa, dagang atau sedikit" sebagaimana sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:



بَدَاَ اْلاِسْلاَمُ غَرِيْبًا سَيَعُوْدُ غَرِيْبًا كَمَا بَدَأ فَطُوْبَى للغُرِبَاءِ.



"Islam itu bermula dengan keadaan aneh (asing/luar biasa) maka akan kembali menjadi aneh (asing/luar biasa) maka berbahagialah orang yang asing itu".[19]



نُقِلَ عَنْ سُفْيَانِ الثَّوْرِيِّ اَنَّهُ قَالَ : اِسْتَوْصُوْا بِاَهْلِ السُّنَّةِ خَيْرًا فَاِنَّهُمْ غُرَبَاءُ.



"Dinukil dari Sufyian ath-Thauri beliau berkata: Berwasiatlah kamu kepada Ahli Sunnah dengan kebaikan kerana mereka guraba".

Dengan penjelasan ini, golongan yang paling tepat dinamakan al-Jamaah atau Ahli Sunnah wal-Jamaah, Firqah an-Najiah atau nama-nama yang berkaitan dengan Jamaah Islamiyah, maka mereka ialah para sahabat, tabiin, tabiut at-tabiin dan sesiapa sahaja yang mengikut manhaj para sahabat dengan baik, terutama kalangan ulamak mujtahid yang berpegang kepada manhaj al-Kitab dan as-Sunnah.[20]

Gelaran Ahli Sunnah wal-Jamaah muncul diakhir zaman sahabat, ini berdasarkan keterangan yang diambil dari athar Ibn Abbas apabila beliau menafsirkian Firman Allah:[21]

يَوْمَ تَبْيَضُّ وُجُوْهٌ وَتَسْوَدُّ وُجُوْهٌ.



"Pada hari yang diwaktu itu ada muka yang putih berseri dan ada pula muka yang hitam muram". Ali Imran, 3:106.



Menurut Ibn Abbas radiallahu ‘anhu:



"Adapun orang yang putih berseri-seri mukanya ialah Ahli Sunnah wal-Jamaah dan Ulul al-Ilm dan yang hitam muram mukanya ialah Ahli bid'ah atau orang yang sesat".[22]

Dengan berpandukan dalil dan keterangan di atas, amat tepat pengistilahan yang menetapkan bahawa orang yang paling berhak dan layak digelar atau dinamakan Ahli Sunnah Wal-Jamaah ialah sesiapa sahaja yang berpegang teguh (ittiba') kepada manhaj para sahabat, tabiin dan tabiut at-tabiin yang diistilahkan sebagai "Manhaj Salaf As-Soleh". Oleh itu, sesiapa yang tidak berpegang kepada manhaj Salaf as-Soleh adalah golongan yang berpecah (terkeluar) dari Ahli Sunnah wal-Jamaah sebagaimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam:

لَتَفْتَرِقَنَّ اُمَّتِيْ عَلَى ثَلاَثِ وَسَبْعِيْنَ فِرْقَةً وَاحِدَة فِى الْجَنَّةِ وَثِنْتَانِ وَسَبْعُوْنَ فِى النَّارِ . قِيْلَ : مَنْ هُمْ ؟ قَالَ : اَلْجَمَاعَة.



"Pasti akan berpecah-belah umatku kepada 73 firqah, hanya satu ke syurga dan 72 ke neraka. Baginda ditanya: Siapa mereka (yang ke syurga) wahai Rasulullah? Baginda bersabda: al-Jamaah".[23]

Dalil yang menjelaskan bahawa hanya sesiapa yang berpegang dan kembali kepada al-Quran, sunnah Rasulullah dan athar sahabat berhak dinamakan Ahli Sunnah wal-Jamaah yang bermanhaj salaf ialah berdasarkan hadis sahih:

مَا اَنَا عَلَيْهِ الْيَوْم وَاَصْحَابِيْ.



"(Al-Jamaah) ialah sesiapa yang seperti aku sekarang dan para sahabatku".[24]

Adalah wajib bagi setiap mukmin menjadikan akidah dan amalannya seperti yang diyakini dan dicontohkan oleh para Ahli Sunnah wa-Jamaah yang bermanhaj salaf, iaitu manhaj yang diikuti oleh para sahabat, tabiin, tabiut at-tabiin dan sesiapa saja yang mengikuti mereka dengan baik. Firman Allah:

وَكُوْنُوْا مَعَ الصَّادِقِيْنَ

"Dan hendaklah kamu bersama orang-orang siddiqin (yang benar)".

At-Taha, 20:119.

Orang-orang utama yang telah mendapat gelaran dan penghormatan sebagai syuhada', solehin dan siddiqin ialah para sahabat, maka untuk digolongkan sebagai Ahli Sunnah wal-Jamaah yang diterima oleh syara, sewajarnya seseorang itu memenuhi pensyaratan yang ditetapkan oleh hujjah-hujjah di atas, iaitu kembali kepada manhaj yang diterima oleh Rasulullah yang telah dipegang dan diamalkan oleh para sahabat. Caranya hanya dengan mengikuti, kembali dan mentaati al-Quran, as-sunnah atau wahyu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam.

Suruhan atau perintah agar bepegang teguh dengan sunnah Rasulullah dan athar para sahabat sebagai manhaj yang terjamin terdapat di dalam al-Quran, hadith-hadith dan athar yang sahih, antaranya ialah firman Allah:

وَاتَّبِعْ سَبِيْلَ مَنْ اَنَابَ

"Dan ikutilah jalan orang-orang yang kembali kepadaKu".

Luqman, 31:15.

Orang-orang yang benar-benar mengikuti dan kembali ke jalan Allah Suhanahu wa-Ta'ala tentulah Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam dan para sahabat baginda kerana mereka sentiasa mematuhi firman Allah:

اِتَّبِعُوْا مَا اُنْزِلَ اِلَيْكُمْ مِنْ رَبِّكُمْ وَلاَ تَتَّبِعُوْا مِنْ دُوْنِهِ اَوْلِيَاءَ قَلِيْلاً مَا تَذَكَّرُوْنَ.



"Ikutlah oleh kamu apa yang telah diturunkan kepada kamu dari Tuhanmu dan janganlah kamu mengikuti pemimpin-pemimpin selainNya. Amat sedikit dari kamu mengambil pelajaran (daripadanya)". Al-'Araf, 7:3.

Pengertian "Mengikut apa yang telah diturunkan" sebagaimana yang dimaksudkan oleh ayat di atas ialah mengikut atau kembali kepada wahyu yang berupa al-Quran dan hadis Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam. Hadis atau kata-kata Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam dinamakan sebagai wahyu berdasarkan ayat al-Quran:

وَمَا يَنْطِقُ عَنِ الْهَوَى اِنْ هُوَ اِلاَّ وَحْيٌ يُوْحَى



"Dan tiadalah yang diucapkannya itu (Al-Quran) menurut kamahuan hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanya wahyu yang dibawakan (kepadanya)". An-Najm, 53:3-4.

Semasa Rasulullah ingin menyampaikan wasiat agar umat Islam benar-benar kembali kepada manhaj Ahli Sunnah wal-Jamaah dan meninggalkan Ahli bid'ah, tanda-tanda kesungguhan yang tergambar di wajah Rasulullah telah merubah suasana dan keadaan para sahabat di ketika itu, sehingga menggegarkan hati para sahabat dan mengalirkan air-mata mereka. Kejadian tersebut telah menunjukkan peripentingnya umat Islam berpegang dan kembali kepada pegangan Ahli Sunnah wal-Jamaah yang menjadi manhaj para sahabat sekalian. Rasulullah berwasiat:

اُوْصِيْكُمْ بِتَقْوَى اللهِ وَالسَّـمْعِ وَالطَّاعَةِ وَاِنْ وَلَّى عَلَيْكُمْ عَبْدٌ حَبَشِيٌّ ، وَاِنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ مِنْ بَعْدِيْ فَسَيَرَى اخْتِلاَفًا كَثِيْرًا ، فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِيْ وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِيْنَ الْمَهْدِيِّيْنَ مِنْ بَعْدِيْ ، تَمَسَّكُوْابِهَاوَعَضُّوْا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ ، وَاِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الاُمُوْرِ، فَاِنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ ، وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَـلاَلَةٌ ، وَكُلَّ ضَـلاَلَةٍ فِى النَّارِ.



"Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam telah memberi peringatan kepada kami sehingga membuat hati kami bergetar dan air mata berlinangan. Kami berkata: Wahai Rasulullah! Seakan-akan ini wasiat perpisahan maka berwasiatlah kepada kami. Baginda bersabda: Aku wasiatkan kepada kamu agar tetap bertakwa kepada Allah, sentiasa mendengar dan taat walaupun yang memimpin kamu adalah seorang hamba Habsyi. Sesungguhnya sesiapa yang hidup antara kamu selepasku akan melihat ikhtilaf yang banyak, maka hendaklah kamu mengikuti sunnahku dan sunnah Khulafa ar-Rasyidin yang mendapat petunjuk. Peganglah ia dan gigitlah dengan gigi geraham. Aku peringatkan kamu tentang benda-benda yang baru kerana setiap yang baru itu bid'ah dan setiap yang bid'ah itu sesat".[25]

بِسْـمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ

Sebahagian dari isi kandungan kertas kerja telah dikulliahkan di Pusat Islam Singapura dan di Masjid, di beberapa masjid di Negeri Perlis dan Kampung Malaysia Tambahan, Selangor Malaysia.

[1]. Lihat: لسان العرب - مادة (سنن)

[2]. Lihat: (1). مختار الصحاح Hlm. 133. ar-Razi. (2). Inilah takrif yang diberikan oleh Ibn Athir dalam النهاية فى غريب الحديث قى مادة : (سنن) Jld. 2. Hlm. 409.

[3]. Lihat: لسان العرب - مادة (سنن)

[4]. Lihat: لمعة الاعتقاد الى سبيل الرشاد Hlm. 40. al-Uthaimin.

[5]. Lihat: اهل السنة والجماعة ومنهج الاشاعرة فى توحيد الله تعالى Juz. 1. Hlm 21. Khalid bin Abdul Latif bin Muhammad Nor.

[6]. Lihat: (1). منهج اهل السنة والجماعة ومنهج الاشاعرة فى توحيد الله تعالى Juz. 1. Hlm. 20. Khalid bin Abdul Latif bin Muhammad Nor.(2). القاموس المحيط . مادة : (حمع) Hlm. 917. Al-Fairuz Abadi.

[7]. Lihat: (1) مجموعة فتاوى Jld. 3. Hlm. 157.(2). المعجم الوسيط . مادة : (جمع) Jld. 1. Hlm. 135.

[8]. Lihat: H/R At-Tabari dalam "Al-Kabir" (1/320).

[9]. (1). Ini adalah kata-kata 'Amru bin Qais dalam الابانة. Jld. 2. Hlm. 492. Ibn Battah (2). Perkataan Bukhari di dalam kitab sahihnya (13/328). (3). Turmizi dalam sunannya (4/467).

[10]. Lihat: الاعتصام Jld. 2. Hlm. 263. As-Syatibi.

[11]. Inilah yang dijelaskan oleh al-Barbahari dalam شرح السنةHlm. 22.

[12]. H/R Ahmad (4/162). Abu Daud (5/13). Turmizi (7/437) dan Ibn Majah (1/15).

[13]. Lihat: شرح السنة Hlm. 22. Al-Barbahari.

[14]. Lihat: تحفة الاحوذى(7/399-340). Berkata Turmizi: Hadis ini hasan dan gharib. Lihat: سلسلة الاحاديث الصحيحة No. 203 atau 1192. Syeikh Al Albani.

[15]. Lihat: Riwayat Baihaqi. al-Madkhali. الحوادث والبدعHlm. 22. Abu Syamah.

[16]. Lihat: اهل السنة والجماعة ومنهج الاشاعرة فى توحيد الله تعالى Juz. 1. Hlm. 23.

[17]. Lihat: Bahaya Taqlid Buta & Ta'sub Mazhab. Hlm. 81. Rasul Dahri.

[18]. Lihat: منهاج السنة Jld. 3. Hlm. 457. Ibn Taimiyah.

[19]. H/R Muslim.

[20]. Lihat: منهج اهل السنة والجماعة ومنهج الاشاعرة فى توحيد الله تعالىJuz 1 Hlm 23.

[21]. Lihat: منهج اهل السنة والجماعة ومنهج الاشاعرة فى توحيد الله تعالى Juz 1 hlm 23.

[22]. Ibid.

[23]. H/R Ibn Majah (2/1322). Hadith ini disahihkan oleh al-Haitimi dalam (الزوائد) Disahihkan juga oleh al-Iraqi di dalam (تلخيص الاحياء.

[24]. Lihat: H/R Turmizi. (تحفة الاحوذى) (7/399-240).

[25]. H/R Ahmad, Abu Daud, Turmizi dan Ibn Maja


-------------------------------------------------------------------------------------

*Manhaj Salaf As-Soleh



Salaf menurut bahasa ialah orang yang awal-awal, mula-mula atau yang terdahulu.[1] Atau pendahulu bagi suatu generasi.[2] Menurut Ibn Mansur:

"Salaf ialah sesiapa yang mendahului engkau seperti ibu bapa atau kaum kerabat yang lebih tua pada umur atau kedudukan".[3]

Kalimah salaf telah disebut di dalam al-Quran. Allah berfirman:

فَجَعَلْنَاهُمْ سَلَفًا وَمَثَلاً لِلاَخِرِيْنَ.



"Dan Kami jadikan mereka (orang-orang) yang terdahulu sebagai pelajaran dan contoh bagi orang-orang yang kemudian". Zukhruf, 43:56.

Jika pengertian salaf: "Orang yang mula-mula, awal-awal atau terdahulu" maka orang-orang yang menjadi salaf kita dalam menerima, memahami, mengamalkan, mengajarkan dan memperjuangkan Islam tentulah terdiri dari para sahabat kerana mereka menerima langsung agama ini dari Naib Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam dan mereka hidup di zaman turunnya wahyu. Allah menjamin tentang kesalafan mereka sebagaimana firmanNya:

وَالسَّابِقُوْنَ اْلاَوَّلُوْنَ مِنَ الْمُهَاجِرِيْنَ وَاْلاَنْصَارِ وَالَّذِيْنَ اتَّبَعُوْاهُمْ بِاِحْسَانٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمْ وَرَضَوْا عَنْهُ وَاَعَّـدَ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِيْ تَحْتَهَا اْلاَنْهَارُ خَالِدِيْنَ فِيْهَا اَبَدًا ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيْمِ.



"Orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama-tama (masuk Islam) di antara orang-orang Muhajirin dan Ansar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya. Mereka kekal di dalamnya buat selama-lamanya. Itulah kemenangan yang besar". At-Taubah, 9:100.

Kemudian setelah sahabat tentulah para tabiin yang menerima pemahaman Islam dari para sahabat radhialllahu 'anhum dan kemudiannya pula para tabiut at-tabiin kerana mereka menerimanya dari tabiin dan selepas itu sesiapa sahaja yang berittiba’ kepada mereka dengan baik sehinggalah ke Hari Kiamat.

Para sahabat sama ada dari kalangan Muhajirin atau Ansar sudah diketahui sebagai ummah yang termula, mereka adalah manusia yang terdahulu atau terawal menerima Islam, oleh sebab itu mereka adalah benar-benar Salaf as-Soleh yang paling soleh dan terbaik untuk diikuti manhajnya, malah manhaj mereka telah dijamin sebagai manhaj yang paling baik dan selamat sebagaimana firman Allah Subhanahu wa-Ta’ala:

كُنْتُمْ خَيْرَ اُمَّةٍ اُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَاْمُرُوْنَ بِالْمَعْرُوْفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُوْنَ بِاللهِ.



"Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh yang makruf dan menegah dari yang mungkar serta beriman kepada Allah". Ali Imran, 3:110

Yang dimaksudkan "Kamu adalah umat yang terbaik" Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam para sahabat. Mereka dianggap oleh al-Quran sebagai sebaik-baik ummah kerana mereka sentiasa berpegang kepada manhaj al-Quran dan as-Sunnah. Menurut hadis sahih, selain para sahabat maka para tabiin dan tabiut at-tabiin telah digolongkan juga sebagai sebaik-baik ummah yang selamat manhajnya. Sebagaimana sabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam:

خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِيْ ثُمَّ الَّذِيْنَ يَلُوْنَهُمْ ثُمَّ الَّذِيْنَ يَلُوْنَهُمْ.



"Sebaik-baik generasi ialah generasiku, kemudian orang-orang yang sesudahnya (tabiin) dan kemudian orang-orang yang sesudahnya (tabiut at-tabiin)".[4]

Mereka (para sahabat radiallahu ‘anhum) digelar sebagai sebaik-baik generasi kerana manhaj mereka hanyalah manhaj al-Quran dan al-Hadis dalam setiap urusan agama mereka. Mereka sentiasa mematuhi suruhan Allah dan RasulNya agar berittiba' kepada wahyu Allah sebagaimana firmanNya:

وَاتَّبِعُوْا اَحْسَنَ مَا اُنْزِلَ اِلَيْكُمْ مِنْ رَّبِّكُمْ مِنْ قَبْلِ اَنْ يَاْتِيَكُمُ الْعَذَابُ بَغْتَةً وَاَنْتُمْ لاَتَشْعُرُوْنَ.



"Dan ikutilah sebaik-baik apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu sebelum datang azab kepadamu dengan tiba-tiba, sedang kamu tidak menyedarinya". Az-Zumar, 39:55.

Yang dimaksudkan (اَحْسَنَ مَا اُنْزِلَ): "Sebaik-baik apa yang telah diturunkan" ialah “al-Quran”, kerana al-Quran keseluruhannya hanya dipenuhi oleh perkara-perkara yang terbaik (amat sempurna).[5] Para sahabat ditarbiyah (dididik) oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam dengan wahyu (al-Quran dan sunnah) yang sedang diturunkan, oleh sebab itu mereka adalah manusia yang paling baik, mulia dan sempurna sebagaimana yang telah dijelaskan di surah Ali Imran, 3:110.

Ibn Taimiyah rahimahullah telah memfatwakan tentang penentuannya siapa sebenarnya mereka yang berhak bergelar Ahli Sunnah wal-Jamaah yang bermanhaj Salaf as-Soleh sehingga setiap orang yang beriman diwajibkan bermanhaj dengan manhaj mereka:

اَنَّ اَهْلَ السُّـنَّةِ هُمُ الَّذِيْنَ الْمُتَمَسِّـكُوْنَ بِكِتَابِ اللهِ وَسُنَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلِيْهِ وَسَلَّمَ وَمَا اتَّفَقَ عَلَيْهِ السَّابِقُوْنَ اْلاَوَّلُوْنَ مِنَ الْمُهَاجِرِيْنَ وَاْلاَنْصَارِ وَالَّذِيْنَ اتَّبَعُوْهُمْ بِاِحْسَانٍ.



"Ahli Sunnah ialah mereka yang berpegang dengan kitab Allah (al-Quran) dan Sunnah Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam (Hadis sahih) dan apa yang disepakati oleh orang-orang pendahulu yang awal (salaf) yang terdiri dari kalangan Muhajirin dan Ansar dan juga orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik".[6]



Seterusnya beliau berkata:



فَمَنْ قَالَ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ وَاْلاِجْمَاعِ كَانَ مِنْ اَهْلِ السُّنَّةِ وَالْجَمَاعَةِ.



"Maka sesiapa yang berkata-kata berdasarkan al-Kitab (al-Quran) dan as-Sunnah serta ijmak maka ia adalah tergolong dalam golongan Ahli Sunnah wal-Jamaah".[7]

Dalam persoalan manhaj, Ibn Taimiyah rahimahullah menjelaskan tentang wajibnya kita bermanhaj Salaf as-Soleh kerana ia memenuhi tuntutan berjamaah sebagaimana yang disyaratkan oleh Nabi sallallahu 'alaihi wa-sallam tentang jamaah iaitu:

"Yang sepertiku (yang seperti manhaj Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam) dan (manhaj) para sahabatku".



Oleh sebab itu Ibn Taimiyah menekankan:



لاَ عَيْبَ عَلَى مَنْ اَظْهَرَمَذْهَبَ السَّلَفِ وَانْتَسَبَ اِلَيْهِ وَاعْتَزَى اِلَيْهِ بَلْ يَجِبُ قُبُوْل ذَلِكَ مِنْهُ بِاْلاِتِّفَاقِ فَاِنَّ مَذْهَبَ السَّلَفِ لاَ يَكُوْنُ اِلاَّ حَقًّا.



"Tidak akan menjadi 'aib (kesalahan) bagi seseorang mengakui sebagai bermazhab (bermanhaj) salaf, menasabkan dirinya kepada salaf dan berbangga dengan salaf. Malah wajib menerima mazhab (manhaj) salaf sebagaimana yang telah disepakati. Sesungguhnya mahzab salaf tidak lain hanyalah mazhab yang sebenarnya (hak)".[8]

Ibn Hajar al-Qatari rahimahullah pula berkata tentang manhaj Salaf as-Soleh:

فَالْمُرَادُ بِمَذْهَبِ السَّـلَفِ : مَا كَانَ عَلَيْهِ الصَّحُابَةُ الْكِرَامُ رِضْوَانُ اللهِ عَلَيْهِمْ وَالتَّابِعُوْنَ لَهُمْ بِاِحْسَانٍ اِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ وَاَتْبَاعُهُمْ.



"Maka apa yang dimaksudkan sebagai mazhab (manhaj) salaf ialah sebagaimana yang telah diikuti oleh para sahabat yang mulia yang mana mereka sekalian telah diredhai oleh Allah, begitu juga para tabiin yang mengikuti mereka dengan baik (seterusnya tidak terkecuali orang-orang yang kemudiannya) yang mengikuti mereka sekalian sehinggalah ke Hari ad-Din".

Mahmud Muhammad Khufaji pula menulis tentang manhaj Salaf as-Soleh:



وَلَيْسَ هَذَا التَّحْدِيْد الزَّمَنِيْ كَافِيًا فِى ذَلِكَ بَلْ لاَبُدَّ اَنْ يُضَافَ اِلَى هَذَا السَّبَق الزَّمَنِي مُوَافَقَة الرَّاْي لِلْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ نَصًّا وَرَوْحًا فَمَنْ خَالَفَ رَاْيُهُ الْكِتَابَ وَالسُّنَّة فَلَيْسَ بِسَلَفِى وَاِنْ عَاشَ بَيْنَ اَظْهُرِ الصَّحَابَةِ وَالتَّابِعِيْ التَّابِعِيْنَ.



"Bukanlah penentuan zaman sudah memadai dalam perkara ini (menentukan seseorang itu salafi), tetapi di samping penentuan tersebut (bahawa salaf bukan sahaja generasi yang berada) di zaman (para sahabat) yang berlalu zamannya, malah perlulah ada kesepakatan pandangan mereka dengan al-Kitab dan as-Sunnah, jika tidak, maka dia tidak boleh dinamakan salafi sekalipun ia hidup di tengah-tengah para sahabat, tabiin dan tabiut at-tabiin".[9]

MANHAJ SALAF AS-SOLEH

Untuk mengenal manhaj para Salaf as-Soleh dalam memahami agama Islam dapat diringkaskan kepada beberapa bahagian:

Pertama: Manhaj Salaf as-Soleh ini dikenali juga dengan istilah manhaj Ahli Sunnah wal-Jamaah. Manhaj ini hanya memberi penumpuan kepada dalil-dalil dari al-Kitab (al-Quran) dan as-Sunnah secara langsung kerana tidak terdapat masalah yang tidak boleh diselesaikan dengan ayat al-Quran atau hadis yang sahih atau melalui kedua-duanya sekali.



Pegangan Ahli Sunnah wal-Jamaah yang mengikut manhaj Salaf-Soleh amat berbeza dengan manhaj sufi falsafi, Muktazilah dan ahli kalam dari golongan Asy’ariyah, Maturidiyah dan firqah-firqah yang seumpamanya, kerana golongan Salafi (yang bermanhaj Salaf as-Soleh) lebih mementingkan al-Quran, as-Sunnah serta athar para sahabat radhiallahu ‘anhum.



Golongan ini (sufi falsafi, Muktazilah, ahli kalam, Asya’rah, al-Maturidiyah dan firqah yang seumpama mereka) hanya menerima apa yang sesuai dengan akal fikiran mereka, kalau terdapat dalil yang bertentangan dengan akal fikiran mereka nescaya mereka tolak walaupun merupakan hadis yang sahih. Itulah sebabnya mereka digelar ‘Aklaniyun (عَقْلاَنِيُّوْن) “Penyembah Atau Pemuja Akal” atau digelar juga sebagai ahlu al-ahwa (اَهْلُ الاَهْوَاء) “Penyembah Atau Pemuja Hawa Nafsu”.



Kedua: Manhaj Salaf as-Soleh hanya menggunakan istilah-istilah dari syara (اَلشَّرْعِيَّةُ) apabila menyatakan atau menjelaskan persoalan akidah sama ada untuk menerangkan atau membantah mereka yang khilaf.



Ketiga: Manhaj Salaf as-Soleh amat kurang menggunakan pentakrifan dalam persoalan akidah, tetapi diberi ruang seluas-luasnya di segi fikhiyah atau muamalah.



Keempat: Membentangkan persoalan akidah dengan uslub (gaya/metod) bahasa yang mudah sehingga hampir tidak ada perkara yang tersembunyi.



Kelima: Menyelesaikan setiap persoalan dengan contoh yang sederhana, dengan kalimah yang ringkas dan mudah yang dirujukkan kepada al-Quran dan as-Sunnah (hadis-hadis sahih).



Keenam: Memuliakan dan mematuhi setiap nas-nas yang warid (yang terdapat dan diambil) dari al-Quran atau as-Sunnah dan tidak keluar dari makna al-Quran yang difahami oleh Bangsa Arab (Bahasa Arab asli/tulin). Dan tidak akan lari dari makna al-Quran menurut Bahasa Arab kerana hanya Bangsa Arab yang benar-benar memahami bahasa mereka dan dalil-dalil yang qat’ei (قطعي) dari al-Quran, al-hadis dan athar sahabat yang semuanya berbahasa Arab yang tulin.

SELAIN AHLI SUNNAH

Pencinta bid'ah (مُبْتَدِعٌ) atau sesiapa pun yang gemar mengerjakan bid'ah, maka ia tidak boleh dinamakan sebagai Ahli Sunnah wal-Jamaah. Kerana kalimah yang bertentangan dengan sunnah ialah bid’ah (sunnah lawannya bid’ah). Menurut Syeikh Abdul Rahman As-Su'di rahimahullah pula, Ahli Sunnah adalah golongan yang sentiasa menjauhi perbuatan bid'ah, beliau berkata:

فَاَهْلُ السُّـنَّةِ السَّـالِمُوْنَ مِنَ الْبِدْعَةِ الَّذِيْنَ تَمَسَّكُوْا بِمَا كَانَ عَلَيْهِ النَّبِيّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَاَصْحَابه فِى اْلاُصُوْلِ كُلِّهَا.



"Maka Ahli Sunnah ialah mereka yang menyelamatkan diri mereka (dari melakukan) bid'ah, mereka adalah orang-orang yang benar-benar bepegang teguh dengan apa yang telah dilaksanakan (dicontohkan) oleh Nabi sallallahu 'alaihi wa-sallam dan para sahabat baginda terutama dalam keseluruhan perkara-perkara pokok (yang paling penting)".[10]

Ahli Sunnah wal-Jamaah yang bermanhaj Salaf as-Soleh sentiasa berpegang teguh kepada al-Kitab (al-Quran) dan as-Sunnah kerana hanya itulah penyelamat dari kesesatan, itulah juga yang diwasiatkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

تَرَكْتُ فِيْكُمْ اَمْرَيْنِ مَا لَنْ تَضِلُّ بَعْدَهُ اِنْ اعْتَصَمْتُمْ بِهِ كَتَابَ اللهِ وَسُنَّةَ رَسُوْلِهِ.



"Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang mana kamu tidak akan sesat buat selama-lamanya selagi berpegang dengan keduanya, iaitu Kitab Allah (Al-Quran) dan sunnah RasulNya".[11]

Sebenarnya punca utama lahirnya gelaran Ahli Sunnah wal-Jamaah ialah lantaran munculnya golongan Ahli Ahwa (اهل لاهواء) [12] yang dikenali juga sebagai Ahli bid'ah(مبتدع) . Menurut ahli ilmu, sunnah lawannya bid'ah dan jamaah pula lawannya firqah (perpecahan).

Oleh sebab yang demikian, penentangan Ahli Sunnah wal-Jamaah terhadap Ahli Bid'ah bermula sejak kelahiran Ahli Bid'ah tersebut dan tidak pernah berkesudahan sehinggalah ke hari ini. Ahli bid'ah adalah ahli firaq (golongan yang berpecah atau hizbi), kenyataan ini telah dijelaskan oleh Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam sebagaimana yang dapat difahami melalui sabda baginda:

اِنَّ اَهْلَ الْكِتَابِ اِفْتَرَقُوْا فِى دِيْنِهِمْ عَلَى ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِيْنَ مِلَّةٍ وَاِنَّ هَذِهِ اْلاُمَّةِ سَتَفْتَرِقُ عَلَى ثَلاَثِ وَسَبْعِيْنَ مِلَّةٍ كَلُّهَا فِى النَّارِ اِلاَّ وَاحِدَ وَهِيَ الْجَمَاعَة.



"Sesungguhnya Ahli Kitab berpecah dalam agama mereka kepada 72 millah. Sesungguhnya umat ini akan berpecah kepada 73 millah semuanya ke neraka kecuali yang satu iaitu al-Jamaah.[13]



عَنْ عَبْـدِ اللهِ بْنِ عَمْرُو : وَتَـفْتَرِقْ اُمَّتِيْ عَلَى ثَلاَثِ وَسَبْـعِيْنَ مِلَّةً كَلُّهَا فِى النَّارِ اِلاَّ مِلَّةً وَاحِدَةً : مَا اَنَا عَلَيْهِ وَاَصْحَابِيْ.



"Dari Abdullah bin 'Amr: Berpecah umatku kepada 73 perpecahan semuanya ke neraka kecuali millah yang satu, iaitu sesiapa yang sepertiku dan para sahabatku".[14]

Berkata Abu Muhammad Al-Yamani[15]:

"Sesungguhnya golongan yang benar-benar memberi (orang lain) petunjuk dan mendapat petunjuk serta mengajak kepada kejayaan dan mendapat kejayaan ialah[16] kalangan Ahli Sunnah wal-Jamaah, mereka adalah golongan yang satu (فرقة واحدة) atau al-Jamaah”.


MANHAJ AHLI SUNNAH WAL-JAMAAH

Manhaj menurut pengertian bahasa ialah jalan yang jelas, mudah dan terang. Kalimah ini terdapat di dalam al-Quran, antaranya firman Allah:

لِكُلِّ جَعَلْنَا مِنْكُمْ شِرْعَةً وَمَنْهَاجًا.



"Untuk tiap-tiap umat (di antara kamu) Kami berikan aturan dan jalan yang terang". Al-Maidah, 5:48.

Kalimah manhaj (منهاج) di ayat ini diterjemahkan "Jalan yang terang" dan ia dimaksudkan juga sebagai (سَبِيْلاً) "Jalan" atau (سُنَّةً) "Sunnah".[17]

Menurut Imam Ibn Kathir dan as-Syaukani yang dinukil dari Abi Abbas Muhammad bin Yazid, apa yang dimaksudkan manhaj ialah:

اَمَّا الْمَنْهَجُ : فَهُوَ الطَّرِيْقُ الْوَاضِحُ السَّهْلُ.



"Adapun apa yang dimaksudkan sebagai manhaj ialah: Jalan yang terang dan mudah".[18]

Terdapat banyak dalil-dalil syarak dan fatwa-fatwa ulamak muktabar yang menjelaskan tentang wajibnya berpegang kepada manhaj (jalan/sunnah) Ahli Sunnah wal-Jamaah. Kerana Ahli Sunnah wal-Jamaah sentiasa berpegang kuat (ittiba') kepada sunnah atau syarak (Al-Quran, al-Hadis dan athar-athar yang sahih). Sesiapa yang tidak berpegang dengan sunnah maka dia tidak boleh dinamakan sebagai Ahli Sunnah wal-Jamaah kerana mereka terkeluar dari manhaj salaf yang menjadi asas Ahli Sunnah wal-Jamaah.

Gelaran Ahli Sunnah wal-Jamaah hanya layak disandang oleh mereka yang benar-benar berjalan di atas landasan (صراط) yang dilalui oleh Ahli Sunnah wal-Jamaah yang telah dicontohkan oleh para Salaf as-Soleh (Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam, para sahabat, tabiin, tabiut at-tabiin) dan mereka yang mengikut jalan (manhaj) Salaf a-Soleh dengan baik. Allah berfirman:

وَاَنَّ هَذَا صِرَاطِيْ مُسْتَقِيْمًا فَاتَّبِعُوْهُ وَلاَ تَتَّبِعُوْا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيْلِهِ ذَلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُوْنَ.



"Dan bahawasanya (Yang Kami perintahkan) ini adalah jalanKu yang lurus, maka ikutilah dia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain). Kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalanNya. Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu bertakwa".

Al-An'am, 6:153.



عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ مَسْـعُوْدٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : خَطَّ لَنَا رَسُـوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَـلَّمَ يَوْمًا خَطًّا ثُمَّ قَالَ : هَذَا سَـبِيْلُ اللهِ وَخَطَّ خُطُوْطًا عَنْ يَمِيْنِهِ وَعَنْ شِمَالِهِ ثُمَّ قَالَ : هَذِهِ سُبُلٌ مِنْهَا شَيْـطَانٌ يَدْعُوْا اِلَيْهِ ثُمَّ تَلاَ : وَاَنَّ هَذَا صِرَاطِيْ مُسْتَقِيْمًا فَاتَّبِعُوْهُ وَلاَ تَتَّبِعُوْا السُّـبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيْلِهِ ذَلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُوْنَ.



"Dari Abdullah bin Masoud radiallahu 'anhu berkata: Pada suatu ketika Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam telah menggariskan kepada kami suatu garisan lalu bersabda: Inilah jalan Allah, kemudian menggariskan beberapa garisan di sebelah kanannya dan di sebelah kirinya lalu bersabda: Inilah jalan-jalan yang pada setiap jalan ada satu syaitan yang menyeru kepada jalan tersebut. Kemudian baginda membacakan ayat: Sesungguhnya inilah jalan Ku yang lurus maka ikutilah jalan tersebut dan janganlah kamu ikuti jalan-jalan (yang banyak itu) kerana jalan-jalan tersebut mencerai-beraikan kamu dari jalanNya. Yang demikian itu diperintahkan oleh Allah kepadamu agar kamu bertakwa".[19]

لاَيَسْتَقِم قَوْلٌ وَعَمَلٌ اِلاَّ بِمُوَافَقَتِهِ السُّنَّةِ.

"Tidak akan lurus (betul) perkataan dan amalan kecuali setelah perkataan dan amal tersebut menepati as-Sunnah".[20]



KEMBALI KEPADA

Kembali kepada Ahli Sunnah wal-Jamaah adalah tuntutan syarak. Pengistilahan Ahli Sunnah wa-Jamaah diberikan kepada sesiapa sahaja yang berpegang kuat dengan sunnah yang telah dicontohkan (digariskan) oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam kemudian meninggalkan bid'ah (tidak melakukan/tidak menambah) apa yang tidak diperintahkan. Inilah peraturan, cara atau manhaj yang telah ditetapkan oleh syarak sebagaimana yang dijelaskan oleh ayat berikut:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِى رَسُوْلِ اللهِ اُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُوْا اللهَ وَالْيَوْمَ اْلاَخِرَ وَذَكَرَ اللهَ كَثِيْرًا.



"Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharapkan (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah".

Al-Ahzab, 33:21.



مَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِيْ فَلَيْسَ مِنِّيْ.



"Barangsiapa yang meninggalkan sunnahku maka dia bukanlah dari golonganku".[21]



كُلُّ اَمْرٍ لَيْسَ عَلَيْهِ اَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ.



"Setiap perkara yang bukan atas perintah kami maka ia tertolak".[22]

Imam asy-Syafie rahimahullahu 'anhu sentiasa mengajak orang-orang yang beriman agar kembali kepada manhaj Ahli Sunnah wal-Jamaah, iaitu dengan kembali kepada manhaj hadis yang diwarisi dari para sahabat dan setiap yang bertentangan dengan manhaj tersebut perlu ditinggalkan:

وَمِنْ كَلاَمِ الشَّافِعِي رَحِمَهُ اللهُ : اَلْحَدِيْثُ مَذْهَبِيْ فَمَا خَالَفَهُ فَاضْرِبُوْا بِهِ الْخَائِطِ.



"Antara penjelasan Syafie rahimahullah: Al-Hadis adalah mazhabku maka apabila ada yang menyalahi (bertentangan) dengan hadith, maka lemparkanlah oleh kamu (kata-kataku) ke tembuk".[23]



قَالَ اْلاِمَامُ الشَّافِعِيُّ : كُلُّ مَا قُلْتُ وَكَانَ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّ اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خِلاَفُ قَوْلِيْ مِمَّا يَصِح ، فَحَدِيْثُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اَوْلَى وَلاَ تُقَلِّدُوْنِيْ.



"Berkata Imam Syafie: Setiap apa yang telah aku katakan dan ada perkataanku itu yang bertentangan dengan (hadis) yang sahih, maka hadith Nabi sallallahu 'alaihi wa-sallam adalah lebih diutamakan dan janganlah kamu sekalian bertaqlid denganku".[24]

Diharamkan kepada setiap mukmin meninggalkan sunnah (hadis sahih) Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam kerana terpengaruh dengan pendapat atau kata-kata seseorang. Imam Syafie menjelaskan:

قَالَ اْلاِمَامُ الشَّافِعِيُّ : اَجْمَعَ الْمُسْلِمُوْنَ عَلَى اَنَّ مَنِ اسْتَبَانَ لَهُ سُنَّةَ رَسُوْلَهُ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمْ يَحِلُّ لَهُ اَنْ يَدَعَهُ لِقَوْلِ اَحَدٍ.



"Berkata Imam Syafie: Telah ijmak (sepakat) seluruh muslimin bahawa sesiapa yang tegak di atas sunnah Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam tidak dihalalkan baginya meninggalkan lantaran (terpengaruh) kata-kata seseorang".

Menurut Imam Syafie rahimahullah, tidak seorangpun manusia selain Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam diberi hak oleh Allah untuk menentukan halal atau haramnya sesuatu masalah dalam agama. Malah tidak seorang insanpun pernah diberi keizinan untuk menolak hadis yang sahih yang menjadi manhaj para Salaf as-Soleh. Imam Syafie juga membenci mereka yang ghulu, ta'asub (fanatik) dan bertaqlid buta kepada pendapat seseorang sehingga meninggalkan (menolak) hadis yang sahih, kerana perbuatan tersebut boleh membawa kepada kekufuran atau kesyirikan sebagaimana penjelasan beliau:

وَقَالَ اْلاِمَامُ الشَّافِعِيُّ : مَنْ قَلَّدَمُعُيَّنًا فِىتَحْرِيْمِ شَيْءٍ اَوْ تَحْلِيْلِهِ وَقَدْ ثَبَتَ فِى الْحَدِيْثِ الصَّحِيْحِ عَلَى خِلاَفِهِ وَمَنْعِهِ التَّقْلِيْدِ عَنِ الْعَمَلِ بِالسُّنَّةِ فَقَدْ اِتَّخَذَ مَنْ قَلَّدَهُ رَبًّا مِنْ دُوْنِ اللهِ تَعَالَى.



"Berkata Imam Syaifie rahimahullah: Sesiapa yang bertaqlid pada sesuatu dalam pengharaman sesuatu atau penghalalannya sedangkan telah nyata hadis sahih yang bertentangan dengannya dan menegah dari betaqlid kerana telah diperintahkan (diwajibkan) beramal dengan sunnah, maka dia telah mengambil orang yang ditaqlidkan sebagai tuhan selain Allah Ta'ala".[25]

Imam Syafie tidak pernah mengizinkan seseorang itu menganggap baik (istihsan) terhadap apa sahaja yang dibuat, dicipta dan diada-adakan di dalam agama jika semuanya itu tidak ada dalilnya dari syarak yang membolehkan:

قَالَ اْلاِمَامُ الشَّافِعِيُّ : لَيْسَ ِلاَحَدٍ دُوْنَ الرَّسُوْلِ اللهِ صَلَّىاللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اَنْ يَقُوْلَ اِلاَّ بِاْلاِسْتِدْلاَلِ وَلاَ يَقُوْلُ بِمَا اسْتَحْسَنَ فَاِنَّ الْقَوْلَ بِمَا اسْتَحْسَنَ شَيْءٌ يُحْدِثهُ لاَ عَلَى مِثَالٍ سَابِقٍ.



"Berkata Imam Syafie: Tidak dibolehkan bagi seseorang selain Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam untuk berkata (tentang agama) kecuali dengan berdalil, tidak boleh berkata walaupun dengan suatu yang istihsan (dianggap baik), kerana sesungguhnya mendakwa dengan menyangka sesuatu ciptaan itu baik adalah sesuatu yang sengaja diada-adakan (bid'ah) yang tidak ada contoh sebelumnya".[26]



Imam Syafie juga memberi amaran perbuatan yang menyalahi sunnah, antaranya ialah mencipta sesuatu dalam agama yang dianggap baik:



مَنِ اسْتَحْسَنَ فَقَدْ شَرَعَ ، وَمَنْ شَرَعَ فَقَدْ كَفَرَ



"Sesiapa yang beristihsan (menganggap baik sesuatu yang diada-adakan setelah sempurnanya syarak) maka dia telah mencipta syarak dan sesiapa yang mencipta syarak maka dia telah kafir".



قَالَ اْلاِمَامُ الشَّافِعِيُّ : وَاَمَّااَنْ نُخَالِفَ حَدِيْثًا عَنْ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّىاللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَابِتًا عَنْهُ فَاَرْجُوْا اَنْ لاَ يُؤْخَذُ ذَلِكَ عَلَيْنَا اِنْ شَآءَ اللهُ وَلَيْسَ ذَلِكَ ِلاَحَدٍ وَلَكِنْ قَدْ يَجْهَلُ الرَّجُلُ السُّنَّةَ فَيَكُوْنُ لَهُ قَوْلٌ يُخَالَفُهَا لاَ اَنَّهُ عَمَدَ خِلاَفهَا وَقَدْ يَغْفلُ وَيُخْطِىءُ فِى التَّاْوِيْلِ.



"Adapun untuk kita menyalahi hadis Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam yang nyata dari baginda, maka saya mengharapkan dari kamu tidak akan berlaku seperti itu ke atas kita Insyak Allah. Tidaklah terjadi hal seperti itu ke atas seorang kecuali kerana kejahilannya terhadap sunnah sehingga ia akan memperkatakan apa yang menyalahinya. Bukan lantaran ia sengaja menyalahinya tetapi ada kalanya berpunca kerana kebodohannya sehingga melakukan kesalahan dalam mentakwilkan (menerangkan)nya".[27]

Dengan segala hujjah-hujjah yang telah ditampilkan, sama ada dari al-Quran, al-Hadis, athar-athar sahabat atau fatwa-fatwa para ulamak muktabar, maka diharapkan penjelasan ini dapat difahami dan memberi kesedaran kepada kita semua yang mencintai sunnah, dan inilah juga merupakan jawapan kepada soalan "Kenapa Kita Berpegang Kepada Ahli Sunnah Wal-Jamaah?".

والله اعلم

سبحانك اللهم وبحمدك اشهد ان لا اله الا انت استغفرك واتوب اليك . وصلى الله على محمد وعلى آله واصحابى اجمعين.

[1]. Lihat: معجم مقايس اللغةJld. 3. Hlm. 95. Ibnu Faris.

[2]. Lihat: القاموس المحيط Al-Fairuz Abadi.

[3]. Lihat: Lisan (9/159). Lihat juga: المفسرون للمغراوى Jld. 1. Hlm. 18.

[4]. H/R Bukhari.

[5]. Lihat: Tafsir al-Qurtubi, jld. 15 hlm. 270. Dan tafsir at-Tabari, jld. 13 hlm. 23.

[6]. Lihat: مجموعة الفتاوىJld.3 Hlm. 375. Ibn Taimiyah.

[7]. Ibid. Hlm. 346.

[8]. Lihat: مجموعة الفتاوى Jld. 4. Hlm. 149. Ibn Taimiyah.

[9]. Lihat: العقيدة الاسلامية بين السلفية والمعتزلة تحليل ونقدJuz. 1. Hlm. 20-21. Mahmud al-Khufaji.

[10]. Lihat: الفتاوى السعدية hlm. 63. Abdul Rahman an-Nasr as-Su'di.

[11]. H/R Muslim (2137) Al-Haj. Abu Daud (1628). Al-Mnasik, Ibn Mahaj (3060) al-manasik.

[12]. Lihat: اهل السنة والجماعة ومنهج الاشاعرة فى توحيد الله تعالى Juz. 1. Hlm. 24. Khalid bin Abdul Latif bin Muhammad Nor.

[13]. H/R Ibn Majah (2/1322). Ibn Abi 'Asim dalam sunnah hlm. 32.

[14]. Lihat: تحفة الاحوذى (7/399-340).

[15]. Abu Muhammad al-Yamani ialah ulama kurun keenam hijrah.

[16]. Lihat: عقائد الثلات والسبعين فرقة Jld. 1. Hlm. 10. Abi Muhammad al-Yamani. Tahqik Muhammad bin Abdullah Zarban al-Gamidi.

[17]. Lihat: منهج اهل السنة والجماعة ومنهج الاشاعرة فى توحيد الله تعالى. Juz. 1. Hlm. 50. Khalid bin Abdul Latif bin Muhammad Nor.

[18]. Lihat: تفسير ابن كثير. Jld. 2. Hlm. 66. Dan lihat: فتح القدير Jld. 2. hlm. 48. As-Syaukani.

[19]. H/R Ahmad di "Musnad" Jld. 1. Hlm. 435. Al-Hakim di "al-Mustadrak" Jld. 2. Hlm. 318. Ibn Abi 'Asim (17) di As-Sunnah" Hlm. 13.

[20]. Lihat: تلبيس ابليس hlm. 9. Ibn Qaiyim. Az-Zahabi مقدمة الجرح والتعديل (1/122).

[21]. H/R Bukhari (9/5063). Muslim (2/1401). Ahmad (2/158). Ibn Abi 'Asim (1/62).

[22]. H/R Bukhari (2697). Muslim (1718).

[23]. Lihat: الاعتصام Jld. 2. Hlm. 346. asy-Syatibi.

[24]. Lihat: اعلام الموقعين (17). Ibn Qaiyim al-Jauzi.

[25]. Lihat: هل المسلم ملزم باتباع مذهب معين من المذاهب الاربعة Hlm. 69. Muhammad Sultan Al-Maksumi.

[26]. Lihat: الرسالة No. 70.

[27]. Ibid. Hlm. 595-599.


-------------------------------------------------------------------------------------

* Hablum Minallah



Kertas kerja ini pernah dikulliahkan dibeberapa buah masjid di Negeri Perlis, di Persatuan al-Islah Perlis dan di Singapura.

Mudah-mudahan kertas kerja ini dapat memberi manfaat kepada para pembaca serta para pencinta ilmu agama dan kebenaran. Doa dari penulis, semoga kita semua sentiasa dirahmati Allah Subhanahu wa-Ta’ala serta dipelihara ketaatan dan keimanan kita dengan taufik dan hidayahNya. Amin!

بِسْـمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ

اَلْحَمْدُ للهِ رَبِّ العَالَمِيْنَ ، والصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى اَشْرَفِ الاَنْبِيَاءِ وَالْمُرِسَلِيْنَ نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَاصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ اِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ .

HABLUM MINALLAH

Allah Subhanahu wa-Ta’ala melalui firmanNya dan melalui RasulNya Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam berulang kali meyeru kepada setiap orang yang beriman agar tidak bercerai-berai (tidak berpecah-belah), kerana diwajibkan kepada mereka agar berpegang teguh kepada agamaNya atau kepada kitabNya (yang menyeru kepada perpaduan - pent.),[1] kerana bersatu padu merupakan perjanjian (perintahnya)Nya di dalam al-Quran. Sekalian mereka yang beragama Islam diseru agar sentiasa bersatu atau berjamaah. Diharamkan dari berpecah-belah kerana perpecahan adalah kehancuran dan berjamaah adalah kejayaan.[2] Jelasnya al-Quran mewjibkan orang-orang beriman agar sentiasa berjamaah di atas kalimah i'tisam (اعتصام) "Al-Quran" yang hak dan berserah diri kepada Allah.[3] Al-Quran dengan jelas mengharamkan perpecahan sebagaimana berpecahnya golongan Ahli al-Kitab serta orang-orang jahiliyah. Allah menyeru agar setiap mukmin sentaisa bersatu sebagaimana firmanNya:

وَاعْتَصِمُوْا بِحَبْلِ اللهِ جَمِيْعًا وَلاَ تَفَرَّقُوْا

"Dan berpegng teguhlah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai". Ali Imran, 3:103.

Tajuk yang diberikan kepada saya untuk dibincangkan dalam kulliah ini ialah tentang hablullah (حبل الله) yang antara maksud dan ertinya: "Tali Allah/Perjanjian Allah" sebagaimana yang terdapat di dalam ayat selanjutnya:

ضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ الذِّلَّةُ اَيْنَ مَا ثُقِفُوْا اِلاَّ بِحِبْلٍ مِّنَ اللهِ وَحَبْلٍ مِّنَ النَّاسِ



"Mereka diliputi kehinaan di mana sahaja mereka berada, kecuali jika mereka berpegang kepada tali (agama) Allah dan tali (perjanjian) dengan manusia". Ali Imran, 3:112.

Hablullah (حبل الله) di dalam ayat ini dan di ayat sebelumnya selain bermakna perjanjian ia dimaksudkan juga sebagai "Al-Quran". Ia memberi maksud bahawa kekuatan berjamaah tercipta setelah kembali kepada al-Quran, kerana al-Quran memandu ke jalan yang lurus sebagaimana terdapat dalilnya dari hadis Nabi Muhammad sallallahu 'alihi wa-sallam:

هُوَ حَبْلُ اللهِ الْمَتِيْنُ وَصِرَاطُهُ الْمُسْتَقِيْمُ



"Ia (al-Quran) ialah tali Allah yang kuat dan jalanNya yang lurus".

اِنَّ هَذَا اَلْقُرْآنَ حَبْلُ اللهِ الْمَتِيْنُ ، مَنْ قَالَ بِهِ صَدَق وَعَمَلَ بِهِ رَشَد ، وَمَنِ اعْتَصَمَ بِهِ هدى اِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيْمٍ.



"Al-Quran adalah tali Allah yang kukuh, sesiapa yang berkata dengannya benar, beramal dengannya mengikut petunjuk dan sesiapa berpegang kepadanya mendapat hidayah ke jalan yang lurus".

عَنْ اَبِيْ سَعِيْدٍ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كِتَبُ اللهِ هُوَ حَبْلُ اللهِ الْمَمْدُوْدُ مِنَ السِّمَآءِ اِلَى اْلاَرْضِ



"Dari Abi Sa'ied berkata: Telah bersabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam: Kitab Allah (al-Quran) ia adalah tali Allah yang mengikat (menghubung) dari langit ke bumi".



اِنَّ هَذَا الْقُرْآنُ هُوَ حَبْلُ اللهِ الْمَتِيْنُ ، وَهُوَ النُّوْرُ الْمُبِيْنُ ، وَهُوَ الشِّفَاءُ النَّافِعُ ، عِصْمَةٌ لِمَنْ تَمَسَّكَ بِهِ ، وَنَجَاةٌ لِمَنِ اتَّبَعَهُ.



"Sesungguhnya al-Quran ini adalah tali Allah yang kukuh, ia cahaya Allah yang menyinar, ia pengubat yang mujarab, selamat sesiapa yang berpegang dengannya dan berjaya sesiapa yang mengikutinya (berittiba' dengannya)".



اِنَّ هّذَا الصِّرَاطَ مُحْتَضِرٌ يَحْضُرُهُ الشَّيَاطِيْنُ . يَا عَبْدَ اللهِ هَذَا الطَّرِيْقُ ، هَلُّمَ اِلَى الطَّرِيْقِ فَاعْتَصِمُوْا بِحَبْلِ اللهِ فَاِنَّ حَبْلِ اللهِ الْقُرْآنُ.



"Sesungguhnya jalan itu adalah tempat lalu lalang, syaitan-syaitan selalu datang kepadanya. Wahai Abdullah! Ambillah jalan ini, kemarilah, tempuhlah jalan ini. Maka mereka berpegang kepada tali Allah kerana sesunguhnya tali Allah itu adalah al-Quran".

Dalam ayat yang mulia ini, dengan jelas Allah Subhanahu wa-Ta’ala menyeru agar para hambanya yang beriman sentiasa bersatu dengan berpegang teguh kepada tali Allah ( حبل الله ). Maka tali Allah yang dimaksudkan antaranya ialah:

(1). Hablullah: Bermaksud: “al-Jamaah” sebagaimana dapat difahami dari penafsirannya oleh Abdullah bin Masoud bahawa beliau berkata: "Hablullah ialah al-Jamaah"[4]. Maka dengan penafsiran ini menunjukkan bahawa berjamaah itu wajib dan berpecah-belah adalah haram dan berdosa besar.

(2). Hablullah: Bermaksud: “Islam”[5] sebagai agama Allah yang mana manusia dipersaudarakan oleh Allah dengan agama yang mulia ini.

(3). Hablullah: Dari Ibn Abbas beliau berkata: "Hablullah ialah al-Quran".[6] Dimaksudkan al-Quran[7] kerana ia dapat merawat penyakit hati (penyakit rohani). Diseru agar berpegang kepada al-Quran kerana ia menjadi penunjuk jalan yang lurus, cahaya yang terang, penyelamat di dunia-akhirat dan dijamin mendapat kejayaan bagi sesiapa yang mengikutinya.



(4). Hablullah: Bermaksud” “Sirat al-Mustaqim” (صراط المستقيم) "Petunjuk atau jalan yang lurus". Yang mana manusia akan bersatu jika mengikut satu jalan yang lurus ini sahaja.



(5). Hablullah: Bermakksud” “Ikhlas”, sebagaimana yang dijelaskan oleh Abul 'Aliyah rahimahullah ( بالاخلاص لله وحده ) "Dengan penuh keikhlasan semata-mata kerana Allah Yang Esa".



(6). Hablullah: Bermaksud: “Perjanjian dan perintah Allah”, sebagaimana dari Qatadah: "Dengan perjanjian dan suruhanNya (perintahNya)".


Terdapat di dalam ayat-ayat yang mulia di atas ini, seruan Allah Subhanahu wa-Ta’ala kepada setiap hambanya yang beriman agar bersatu melalui al-Quran dengan penuh keikhlasn, mengikut jalan yang satu iaitu jalan yang lurus, beristiqamah dalam berjamaah dan menjauhi setiap perkara atau unsur-unsur yang boleh menyebabkan berlakunya cerai-berai (perpecahan).

Setelah al-Quran terdapat banyak hadis-hadis sahih yang mengharamkan orang-orang yang beriman dari berpecah-belah. Tafsiran ayat di atas ini juga terdapat di dalam kitab Sahih Muslim melalui hadis Suhail bin Abu Soleh, dari ayahnya, dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah bersabda:

اِنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : اِنَّ اللهَ يَرْضَى لَكُمْ ثَلاَثًا وَيَسْخَطُ لَكُمْ ثَلاَثًا ، يَرْضَى لَكُمْ اَنْ تَعْبُدُوْهُ وَلاَ تَشْرِكُوْا بِهِ شَيْئًا ، وَاَنْ تَعْتَصِمُوْا بِحَبْلِ اللهِ جَمِيْعًا وَلاَتَتَفَرَّقُوْا وَاَنْ تُنَاصِحُوْا مَنْ وَلاَّهُ اللهُ اَمْرَكُمْ وَيَسْخَطُ ثَلاَثًا : قِيْلَ وَقَالَ ، وَكَثْرَةَ السُّؤَالِ ، وَاِضَعَةَ الْمَالِ.



"Dari Abi Hurairah radiallahu 'anhu berkata: Sesungguhnya Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam bersabda: Sesungguhnya Allah meredhai tiga perkara dan memarahi (murka) tiga perkara: Allah redha kepada kamu apabila kamu mengibadahiNya dan tidak menyekutukanNya dengan sesuatu, berpegang teguh kepada tali Allah dan tidak bercerai-berai, dan kamu sentiasa menasihati pemimpin yang diangkat Allah menguruskan urusanmu. Dan Allah marah (murka) kepada kamu tiga perkara: Memperkatakan itu dan ini (banyak berdebat), banyak bertanya dan boros (menyia-nyiakan) harta".

Jika umat Islam hidup bersatu atau berjamaah, Allah Subhanahu wa-Ta’ala menjamin mereka dari kekeliruan sebagaimana yang warid dari hadis-hadis sahih. Namun perpecahan akan berlaku juga sebagaimana kenyataan yang berlaku ke atas ummah Islam sekarang ini, ia telah dijelaskan oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam dalam hadis iftiraq (hadis perpecahan) bahawa umat Islam akan berpecah kepada 73 golongan, hanya satu berjaya ke syurga dan selamat dari api neraka, iaitu mereka (yang mengikut jejak berjamaah) yang menyerupai jamaah Nabi sallallahu 'alaihi wa-sallam dan jamaah para sahabat baginda.[8]

Imam Syaukani pula menafsirkan yang dinukil dari Abu al-'Aliyah:

عَنْ اَبِى الْعَالِيَة قَالَ : وَاعْتَصِمُوْا بِحَبْلِ الله : بِالاِخْلاَصِ للهِ وَحْدَهُ

"Dari Abi al-'Aliyah berkata: Berpeganglah kamu kepada tali Allah (bersatu) dengan keikhlasan semata-mata kerana mengEsakanNya".[9]

Dikeluarkan dari Ibn Abi Hatim dari al-Hasan berkata:

"(Berpegang kepada tali Allah) ialah dengan mentaatiNya".

Dan dari Qatadah pula berkata:

"Dengan perjanjian dan suruhanNya (perintahNya)".[10]

Ayat di atas ditafsirkan oleh Ibn Jarir at-Tabari:



"Berpeganglah kamu sekalian kepada agama Allah sebagaimana yang telah diperintahkan, dan perjanjianNya yang Ia telah janjikan kepadamu di dalam kitabNya agar bersatu atas kalimah yang hak dan menerimanya kerana perintah Allah"[11]

Dengan penjelasan di atas, dapat difahami bahawa antara tanda-tanda bid'ah ialah berpecah, (bercerai-berai), keluar dari jamaah dan dan tidak memperdulikan seruan Allah Subhanahu wa-Tal’ala agar sentiasa bersatu malah melakukan yang sebaliknya.

Semoga sekalian umat Islam mendengar seruan Allah Subhanahu wa-Ta’ala dan memperteguhkan lagi perpaduan dan kasih sayang antara sesama mereka agar dirahmati dan diberkati oleh Allah Azza wa Jalla.

[1]. Lihat: تفسير ابى السُّعودjld. 1. hlm. 66.

[2]. Lihat: الجامع لاحكام القرآن Juz. 4. hlm 159. Al-Qurtubi.

[3]. Lihat: جامع البيان Jld. 3. hlm. 42.

[4]. Lihat: جامع البيان Jld 3 hlm 42 Lihat: الجامع لاحكام القرآن Juz 1 hlm 159.

[5]. Lihat: فتح القدير Jld. 1. hlm. 369.

[6]. Lihat: الجامع لاحكام القرآنJuz. 4. hlm.159. al-Qurtubi.

[7]. Lihat: فتح القدير Jld. 1. hlm. 368.

[8]. Teks ini dinukil dari tafsir Ibn Kathir jld 1 hlm 516-517.

[9]. Lihat: فتح القديرJld 1 hlm 369 Asy-Syaukaniy. Lihat: جامع البيان At-Tabary. Jld. 3. hlm. 44.

[10]. Ibid. Hlm. 369.

[11]. Lihat: جامع البيان Jld. 3 hlm. 42. Ibn Jarir at-Tabary.

No comments:

Post a Comment