Friday, May 7, 2010

Wahai Lelaki! Dengarlah Pandangan Saya

Wahai ayahandaku!
Ketahuilah bahawa kedatangan sinar Islam telah mengangkat martabat puterimu di mata masyarakat. Kini tiada lagi pembunuhan anak-anak perempuan seperti zaman jahiliyah dahulu. Bersyukurlah Rabbmu mengurniakan engkau zuriat untuk menyambung keturunanmu. Sesungguhnya engkau adalah pemimpin di dalam keluargamu, dengan itu pimpinlah kami dengan kemampuan yang ada padamu. Kelak nanti engkau akan di pertanggungjawabkan tentang apa yang engkau pimpin. Peliharalah kami dari azab neraka kerana sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta’ala telah berfirman (maksudnya):
Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. [Surah at-Tahrim, 6]

Puterimu memerlukan bimbingan darimu dalam menempuhi kehidupannya. Bersabarlah dalam mendidik puteri-puterimu. Berkat keikhlasanmu dalam mendidik kami, puteri-puterimu kelak akan menjadi penghalang bagimu dari api neraka. Ini sebagaimana sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam (maksudnya):
Barangsiapa yang mempunyai tiga anak perempuan dan dia boleh bersabar terhadap mereka dan memenuhi keperluan mereka, maka mereka akan menjadi penghalang baginya dari api neraka. [Hadis riwayat Bukhari]

Wahai suamiku,
Kehadiranmu dalam hidupku menggantikan tanggungjawab ayahanda dalam memimpinku. Engkau umpama pakaian bagiku dan aku pakaian untukmu. Pimpinlah aku agar mampu menjadi pembantumu di dunia dan kelak pendampingmu di akhirat. Allah Subhanahu wa Ta’ala telah berfirman (maksudnya):
Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka....[Surah an-Nisa’, 34]

Ketahuilah bahawa penyatuan kita adalah bukti kekuasaan Rabb semesta alam seperti yang termaktub dalam firman-Nya (maksudnya):
Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. [Surah ar-Rum, 21]

Seandainya isterimu ini terleka sehingga menyebabkan engkau terguris hati, maafkanlah isterimu. Bersabarlah melayani kerenah isterimu ini kerana mungkin apa yang tersurat tidak seperti yang tersirat. Semoga Allah Subhanahu wa Ta’ala memberi kebaikan dalam hubungan kita. Marilah kita bersama merenungi firman-Nya (maksudnya):
Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu). [Surah an-Nisa’, 19]

Hanya satu pintaku wahai suamiku, didiklah isterimu untuk menjadi wanita solehah yang merupakan sebaik-baik hiasan di dunia ini. Berhematlah dalam membimbingku. Jangan engkau terlalu berlembut sehingga isterimu menjadi alpa dan jangan pula terlalu berkeras sehingga isterimu menjauh darimu. Usahakanlah jalan di antara keduanya. Renungilah mutiara sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam (maksudnya):
Bersikap baiklah terhadap wanita kerana sesungguhnya wanita diciptakan dari tulang rusuk dan tulang rusuk yang paling bengkok adalah bahagian atas. Jika kalian meluruskannya, mungkin kalian akan mematahkannya. Namun jika kalian biarkan maka tulang itu akan tetap bengkok. Oleh kerana itu berbuat baiklah kepada wanita. [Sahih Bukhari (3331) & Sahih Muslim (60/1468)]

Wahai puteraku,
Engkau adalah permata yang berharga buatku. Kehadiranmu menyinari hidup kedua orang tuamu. Kami bertanggungjawab mendidik dan mencorak dirimu menjadi insan yang berbakti kepada agama, masyarakat dan negara. Engkau laksana kain putih sedang kami adalah pelukisnya. Kami telah diberi amanah agar mempersiapkan engkau dengan asas agama yang cukup agar engkau tidak hanyut oleh fatamorgana dunia kelak. Junjungan besar kita Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda (maksudnya):
Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (tauhid). Orang tuanyalah yang menjadikannya sebagai orang Nasrani, Yahudi atau Majusi. [Hadis riwayat Bukhari & Muslim]

Justeru setelah engkau dewasa kelak, penuhilah pula tanggungjawabmu kepadaku. Janganlah engkau melupakan jasa kedua orang tuamu. Jadilah anak yang soleh yang amat diharapkan doanya setelah ibumu meninggalkan alam yang fana’ ini. Renungilah firman Allah Subhanahu wa Ta’ala (maksudnya):
Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). [Surah Luqman, 14]

Wahai warga masyarakatku:
Marilah kita bersama-sama menegakkan amar makruf nahi mungkar agar rahmat dan kasih sayang Allah Subhanahu wa Ta’ala sentiasa menyelubungi kita. Ketahuilah bahawa kita sekalian adalah penolong antara satu dengan yang lain. Allah Subhanahu wa Ta’ala telah merakamkan perkara ini dalam firman-Nya (maksudnya):
Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah, sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. [Surah at-Taubah, 71]

Jangan kita biarkan ombak dunia menenggelamkan kita dari peringatan-Nya. Sesungguhnya dunia ini hanyalah tempat menikmati kesenangan yang sementara. Kelak kita semua akan dipanggil menghadap-Nya untuk ditanyakan tentang amalan kita. Bersegeralah kita menyahut seruan-Nya agar kita tidak kerugian. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala (maksudnya):
Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian; kecuali orang-orang yang beriman dan beramal salih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. [Surah al-Asr, 1-3]

No comments:

Post a Comment